Monday, July 28, 2008

Sastera

AKU MENJADI LEBIH BERANI
Makna:

Stanza yang pertama menggambarkan bahawa penyajak sedang berada di alam sebuah perkelahian. Ini dapat dibuktikan dari baris kedua dan ketiga rangkap pertama, "kau berbaju biru dan bajuku ungu". Baju biru dan ungu yang berbeza warna melambangkan bahawa penyajak sedang bermusuhan dengan seseorang rakannya dan mereka mempunyai pendirian yang bercanggah.
Seterusnya, dalam rangkap yang sama baris keempat hingga keenam "Sayang, hanya aku tahu hatimu tak setulus hatiku", saya dapat agak bahawa penyajak tidak suka kepada musuh penyajak itu. Frasa "hanya aku" di mana perkataan "aku" merujuk kepada penyajak menyatakan penegasan penyajak bahawa dia begitu kenal dengan perangai musuhnya itu dan hanya dia sahaja yang mengetahui perangainya yang selalunya tersembunyi dari pandangan orang lain itu. Ini kerana penyajak berpendapat bahawa musuh itu tidak mempunyai hati yang seikhlas hati orang lain.
Baris terakhir dalam rangkap tersebut "yang berbaju ungu" membuktikan bahawa penyajak sedang menekankan sekali lagi bahawa musuhnya itu berbaju biru, iaitu dia tidak menyebelahi dirinya yang berbaju biru.
Mengikut stanza kedua, baris kedua ialah "sebilah pisaumuaku tidak gentar". Penyajak telah menggunakan pisau sebagai simbol bagi ugutan yang ditujukan oleh musuh kepada penyajak.
Namun, dia tidak takut dengan ugutan musuhnya malah dia mencabar musuhnya setelah berasa tersinggung dengan kata-kata pedas yang diucapkan oleh musuhnya itu, dapat dipetik dari baris ketiga hingga kelima "sepatah kata bisa, aku merasa".
Pada rangkap terakhir, "Hati dan rasa mengajarku, aku menjadi lebih berani" menegaskan jugake beranian yang timbul setelah mempelajari sikap yang harus dia ambil daripada sengketa yang dia hadapi itu. Penyajak bertambah berani memutuskan sendiri sikapnya yang tegas itu setiap waktu pada masa hadapan ekoran daripada persengketaan sedemikian.
Gaya Bahasa:
Terdapat pelbagai jenis gaya bahasa di dalam sajak ini.:
a) i) Aliterasi 'b' yang terdapat dalam rangkap pertama septian pada baris yang kedua iaitu "berbaju biru". Kedua-dua perkataan tersebut mempunyai dua konsonan 'b' pada awal suku kata iaitu "ber" dan "ba" dalam perkataan "berbaju" dan "bi" dalam perkataan "biru".
ii)Satu lagi aliterasi terdapat di rangkap kedua quint baris pertama "bila begini", di mana adanya aliterasi 'b'.
b)Baris yang sama "bila begini" juga mempunyai unsur asonansi, di mana vokal 'i' dalam suku kata "bi", "gi" dan "ni" mempunyai bunyi yang sama.
a)iii)Dalam rangkap yang sama baris kedua pula. aliterasi juga boleh didapati dalam "sepatah kata". Bunyi vokal "a" ada pada suku kata "pa" dan "tah" dalam perkataan "sepatah" serta "ka" dan "ta" dalam perkataan "kata".
c) Klise
Frasa "sepatah kata" juga merupakan sebuah klise yang kerap digunakan dalam bahasa.
Sinkof "mu" dapat diperlihatkan di dalam perkataan "pisaumu" yang ada pada rangkap kedua baris kedua, serta sinkof "ku" yang terdapat dalam perklataan "bajuku" pada rangkap pertama baris kedua. "Hatimu tidak setulus hatiku" merupakan eufumisme kerana ia adalah cara yang lebih sopan untuk menyampaikan maksud bahawa hati seseorang itu adalah busuk. Terdapat dua simbol, iaitu dalam rangkap pertama baris kedua dan ketiga di mana penyajak telah menggunakan baju untuk melambangkan pula ugutan dari musuhnya itu. Akhirnya, rangkap ketiga distikon baris pertama "Hati dan rasa mengajarku" merupakan personifikasi. Hati dan rasa telah merupai perbuatan manusia iaitu mengajar, sesuatu yang mustahil berlaku.
Tema dan Persoalan:
Sajak ini bertemakan ketabahan,ia menyatakan keberanian seorang wanita dalam mengharungi cabaran seperti pergaduhan yang sedang dialaminya itu. Dari stanza yang pertama, kita dapat mempelajari bahawa seperti pepatah rambut sama hitam, hati lain-lain, manusia tidak serupa dalam segi pemikiran dan perangai, seperti penyajak dan musuhnya itu yang bergaduh kerana perbezaan mereka. Stanza kedua pula menjelaskan bahawa tentu ada kejadian yang tidak diundang berlaku seperti ugutan dan kata-kata sindiran, seperti yang dialami penyajak. Semua kejadian yang berlaku tentu terdapat sesuatu hikmah atau makna yang tersirat disebaliknya seperti yang dikemukakan pada stanza terakhir, di mana penyajak telah menjadi lebih berani untuk menghadapi cabaran semasa pergaduhan itu.

Sastera


Manusia dan Kesejahteraan
Salmi Manja
Tema
: Kerosakan akhlak manusia zaman ini.
Stanza1:Kelelahan kita semakin parah tenatnya
Berserta kekejaman mengatasi kedamaian
Titik pertemuan menjadi tentangan
Tak siapa mau beralah
Makna: Pada masa kini, orang lebih menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah dan untuk mencapai keamanan. Apabila berhimpun ataupun berkumpul, pertelingkahan akan tercetus kerana tiada pihak yang mahu 'beralah'.Semua mahu menang ataupun mahu mendengar cakapnya sendiri.
Persoalan: Tentang bagaimana manusia mahu mendapatkan kedamaian di tengah-tengah perlumbaan mengejar kuasa dan kekayaan.
Gaya bahasa: -Asonasi:Kelelahan kita semakin parah tenatnya
-Aliterasi:Kelelahan kita
-Sinkof:Tak, Mau
-Ambiguiti:Kelelahan kita semakin parah tenatnya
Stanza2: Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan
Janjikan harapan semanis janji orang bercinta
Setiap pembicaraan tanpa persatuan
Kejujuran mati di hati
Makna: Pada masa ini, tiada sesiapa yang 'sanggup bersemboyan' iaitu mengambil inisiatif agar manusia di dalam dunia ini hidup bersepadu dan berakhlak tetapi setiap kali mereka cuba mereka gagal. Manusia hanya pandai berjanji tetapi tidak pintar menunaikannya. Malah, mereka membuat sesuatu keputusan itu tanpa perbincangan terlebih dahulu. Ayat terakhir, 'Kejujuran mati di hati', menunjukkan bahawa sifat jujur itu seperti tidak wujud lagi.
Gaya bahasa:-Metafora:Janjikan harapan semanis janji orang bercinta
-Asonasi:mati di hati
Stanza3: Hari ini tak payah parau bertanya
Ketuaan dunia akan tenggelam juga
Dalam kebodohan manusia
Yang kian bermuka dua
Makna: Manusia tidak perlu lagi bersusah payah sehingga penat menanyakan sesuatu kerana pada akhirnya kebodohan manusia akan menghasut dan mempengaruhi kebaikan bumi ini. Perkataan 'tua' boleh menjadi simbol bahawa seseorang itu jika lebih tua, lebih berpengalaman dan berguna. Maka, 'ketuaan dunia akan tenggelam juga dalam kebodohan manusia' membawa maksud bahawa manusia kini tidak memanfaatkan penggunaan bumi ini lagi.
Persoalan: Kebodohan manusia akan menjejas kebaikan bumi.
Gaya bahasa:-simbol:'ketuaan dunia', 'parau bertanya'
-Sinkof: Tak
-Asonasi: tak payah parau bertanya
-Klise:bermuka dua
Stanza4: Demi kelak dewasanya anakku
Kau bikinlah perhitungan sendiri
Untuk menjengah neraka kecintaan manusia
Mencucuri bahan api neraka
Makna: Di dalam stanza ini, saya dapat tukil bahawa dia mahu memberitahu anaknya, bahawa jika dia sudah dewasa, dia haruslah memilih atau membuat keputusan sendiri. Mereka harus memilih sama ada mahu mengunjungi 'neraka kecintaan manusia' serta menjadi ahli kepada neraka manusia ataupun bumi yang penuh dengan manusia yang telah rosak akhlak mereka itu.
Persoalan: Menyuruh anaknya membuat keputusan agar mahu mengikut sesuatu yang bersalahan dengan tuntutan agama di dalam bumi yang sudah penuh dengan penghuni yang rosak akhlaknya.
Gaya bahasa: -Simbol:'neraka kecintaan manusia'
-Paradoks: 'neraka kecintaan manusia'
Stanza5: Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD!
Tambah mengimbau sorotan kitab ESA!
Hanya kesejahteraan membunga api.
Makna: Semakin kita mempelajari dan mengamalkan ajaran kitab suci, semakin kita mendambakan kehidupan yang aman sejahtera.
Persoalan:Perihal mengikut arahan Islam ke arah kesejahteraan.
Gaya bahasa:-Asonasi: Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD!

Sastera

Mengupas Sajak 1 : Anak Laut oleh Rahimidin Zahari

Rangkap 1 :
Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisik ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati

  • Penulis rindu akan masa silamnya yang sering ke laut untuk mencari rezeki walaupun ia hanya sedikit.
  • Laut itu sudah tidak berguna lagi untuk dijadikan sumber rezeki kerana tinggal beberapa kehidupan laut sahaja di laut itu

Ayat "mengembalikan rindunya pada laut" menunjukkan kerinduan nelayan itu kepada kolek tersebut.
Ayat "sisik ikan kulit ketam kepala sotong dan kaki udang yang bersimpati" pula menujukkan keadaan laut itu yang hanya tinggal yang tidak berguna lagi kerana hanya tinggal sebahagian anggota-anggota badan kehidupan di dalamnya.

Rangkap 2 :
Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan uarat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada mura Pencipta

  • Menceritakan bagaimana penulis ini tahu bahawa dia sudah tua seperti laut tersebut dan tidak lama lagi dia akan kembali kepada IIlahi.

Ayat "Seperti kolek terdampar di pasir menampakkan jalur-jalur tua" menunjukkan akan usia nelayan tersebut yang sudah tua.
Ayat "langkahnya hampir tiba pada muara Pencipta" pula menunjukkan singkatnya waktu yang tinggal pada kehidupan nelayan itu kerana tidak lama lagi, dia akan pergi menghadap yang Maha Esa.

Gaya bahasa:


  • Segar angin laut mengembalikan rindunya pada kolek (rangkap 1;baris 1 & 2) - Personifikasi
  • bagai buih kecil terapung di air (rangkap 1;baris 3) - Simili
  • bagai buih (rangkap 1;baris3) - Aliterasi
  • Seperti kolek terdampar di pasir (rangkap 2;baris 1) - Simili
  • Seperti kolek terdampar di pasir menampakkan urat jalur-jalur tua (rangkap 2;baris 1 & 2) - Personifikasi
  • jalur-jalur (rangkap 2;baris 2) - Kata Ganda
  • jalur-jalur tua (rangkap 2;baris 2) - Hiperbola
  • anak laut itu sudah dapat menerka (rangkap 2;baris 3) - Personifikasi
  • kulit ketam (rangkap 1;baris 6) - Aliterasi

Thursday, July 24, 2008

Sastera

Derita Pertama


Makna:


Stanza pertama membawa maksud bahawa Nabi Adam iaitu "bapa kita", telah membuat kesilapan kerana tergoda dengan buah khuldi. Ini dibuktikan pada baris ketiga dan keempat "kerana mencari syurga di celah buah khuldi". Baris ini menyatakan bahawa Adam hendak mencari nikmat yang ada di sebalik buah khuldi yang haram itu. Oleh itu, Adam telah dihantar untuk menetap di tempat yang asing baginya sebagai hukuman, seperti yang dijelaskan pada baris kedua "yang tercampak dari seberang dunia."


Stanza berikut pula menggambarkan suasana di dunia yang baru itu. Adam berada di tempat yang mempunyai persekitaran yang berbeza dengan tempat tinggalnya dahulu. Baris pertama dan kedua " Waktu terlantar di dunia baru, hari tengah malam" menjelaskan suasana yang asing itu. Di dunia yang baru bagi Adam, siang hari yang selalu dilihatnya, telah diambil alih oleh malam. Baris ketiga,"ia tidak mengerti apa yang telah terjadi" membawa maksud bahawa seumur hidupnya di syurga, Adam tidak pernah mengalami malam lalu "tidak mengerti apa yang telah terjadi". Oleh kerana tidak biasa dengan waktu di sana, baris terakhir "mulutnya bisu" menyatakan bahawa Adam tidak sangka hukumannya agak berat sehingga dibuang ke tempat yang tidak pernah diketahuinya.


Ketakutan Adam di dunia baru itu diperlihatkan di stanza yang seterusnya. Baris kedua menguatkan lagi kenyataan ini kerana Adam "mulai merasa cemas akan kegelapan", menunjukkan bahawa Adam gementar dengan malam hari, sesuatu yang tidak pernah dialaminya. "Segumpal awan hinggap ke kening" pada baris ketiga bermaksud bahawa pemikiran Adam tertutup dan kabur kerana " ia tidak tahu apakah itu" di mana perkataan "itu" merujuk kepada kegelapan malam hari.


"Sepanjang malam ia tercengang" pada stanza keempat baris pertama menekankan lagi bahawa Adam tidak tahu apa yang dibuat kemudian untuk meneruskan kehidupannya di dalam keadaan yang tidak lazim dialaminya. Baris kedua "dari hatinya mengalir sungai duka" membuktikan bahawa Adam turut berasa sedih dan kesal akan perbuatannya kerana kesilapannya itu yang menyebabkan dia berada di dalam kesusahan dan kesepian. "Rimba kegelapan tubuh seorang" pada baris ketiga dan keempat menunjukkan kesesalan Adam apabila dia memikir tentang menempuhi hidupnya sebagai seorang yang tidak lagi mempunyai masa hadapan yang cerah.

Stanza yang terakhir membesar-besarkan dan menekankan lagi kesedihan yang dirasanya pada malam itu. "Air matanya membelah muka bulan" membuktikan bahawa Adam menangis dalam kedukaan "sepanjang malam".

Gaya Bahasa:

Rangkap pertama quatrain baris pertama "Adam ialah bapa kita" merupakan asonansi yang mempunyai vokal "a" pada suku kata dalam frasa itu. Bunyi vokal "a" yang sama memberi frasa itu sebuah ritma yang sedap didengar apabila dibaca kuat. Pada rangkap kedua quatrain baris pertama, frasa "di dunia" mempunyai unsur aliterasi "d", di mana kedua-dua perkataan itu bermula dengan huruf konsonan "d". Bahasa asing terdapat dalam rangkap pertama baris keempat iaitu "khuldi" yang berasal dari bahasa Arab. "Hari tengah malam" pada rangkap kedua baris kedua adalah paradoks kerana di frasa itu, makna perkataan "malam" bertentangan dengan perkataan "hari". Baris terakhir pada rangkap yang sama "mulutnya bisu" adalah frasa yang klise kerana selalu digunakan dalam bahasa. Unsur simbol terdapat pada rangkap ketiga baris ketiga "segumpal awan". Ia melambangkan kekaburan yang menutup fikiran Adam semasa terlantar di dunia baru itu. "Hatinya mengalir sungai duka" juga merupakan simbol untuk melambangkan kesedihan yang dirasai Adam. Sinkof "ku" terdapat di perkataan "kutempuh" yang ada pada rangkap keempat baris ketiga. Rangkap keempat baris keempat dan kelima, "rimba kegelapan tubuh seorang" adalah ambiguiti kerana maknanya agak kabur dan tidak dijelaskan lagi dalam sajak itu. Ia boleh membawa makna bagaimana cara untuk Adam menempuhi kegelapan malam hari atau kegelapan tubuh seseorang, iaitu masa hadapan seseorang yang gelap. Stanza terakhir "air matanya membelah muka bulan" merupakan hiperbola untuk membesar-besarkan lagi betapa gundah-gelananya Adam itu.

Tema dan Persoalan:

Sajak ini bertemakan penderitaan, ia mengisahkan bagaimana Adam terseksa dalam penderitaan. Dari stanza pertama, kita dapat pelajari bahawa manusia tidak terhindar dari membuat kesilapan termasuk nabi yang akhlaknya dipersamakan dengan malaikat, seperti Nabi Adam. Stanza kedua pula menunjukkan bahawa sekiranya seseorang membuat suatu kesilapan, dia akan dihukum juga akhirnya. Hukuman yang dihadapinya itu agak berat, sebagai balasan kepada kesilapannya itu. Di dalam sajak, Adam telah menerima hukuman yang sangat berat baginya; dipulaukan di tempat asing keseorangan sahaja. Namun, kesilapan yang kerap dilakukan oleh manusia ada juga kebaikannya, iaitu ia menyedarkan seseorang akan kesilapannya itu dan mengajarnya untuk mengelak dari membuat kesilapan yang sama pada kali yang lain. Stanza keempat membuktikannya, apabila Adam telah berasa sedih dan juga kesal akan perbuatannya itu kerana ia adalah sebab dia menerima hukuman yang berat.

Wednesday, July 16, 2008

Karangan

Nama: Siti Aisyah Bte Sahrol (20)
Kelas: Men. 3L1 (2008) Tarikh: 16/07/08
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Bahagian B
Soalan: Cuti sekolah sepatutnya dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan yang bermanfaat. Terangkan satu kegiatan yang bermanfaat yang ingin kamu sertai semasa cuti sekolah dan jelaskan sebab-sebab kamu memilih kegiatan tersebut.

Cuti sekolah sepatutnya dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan yang bermanfaat. Ada orang berpendapat bahawa masa cuti sekolah adalah masa untuk beriadah, berseronok dan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada pula yang berpendapat bahawa cuti sekolah haruslah diluangkan sepenuhnya dengan mengulangkaji pelajaran dan melakukan kerja sekolah sahaja. Pada pendapat saya, kedua-dua kegiatan atau contoh tersebut tidak patut berlaku. Setiap orang harus ada masa yang seimbang untuk melakukan pelbagai kegiatan. Contohnya, masa untuk bersenam, belajar dan beriadah.

Ada murid-murid yang memilih untuk bekerja sambilan semasa cuti sekolah. Mereka melakukan sedemikian samaada untuk menimba pengalaman ataupun untuk mendapatkan wang belanja yang lebih. Satu lagi kegiatan yang murid-murid boleh lakukan sewaktu cuti sekolah adalah melakukan kerja-kerja kebajikan. Contoh-contoh kerja kebajikan yang boleh kita lakukan adalah membantu menyusun buku-buku di perpustakaan , membantu kanak-kanak yang menuntut di sekolah rendah dalam pelajaran atau subjek mereka yang lemah dan membantu mereka memahami sesebuah topik itu dengan lebih jelas.

Kerja kebajikan yang ingin saya sertai semasa cuti sekolah adalah di rumah tumpangan orang-orang tua ataupun rumah tumpangan anak-anak yatim. Saya memilih kegiatan tersebut kerana saya ingin menambahkan rasa keihsanan dan kesabaran dalam diri saya sendiri. Ada pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan di sana.

Pertama sekali, saya harus dan dapat pelajari memahami diri mereka, baik yang muda mahupun yang tua. Perkara tersebut adalah penting kerana ia dapat membantu kita mengetahui keperluan dan kehendak seseorang itu. Apabila kita sudah memahami mereka juga, kita akan berhati-berhati dalam perbualan kita bersama mereka agar tidak menyinggung perasaan mereka. Sifat ini dapat saya gunakan bukan sahaja apabila berbual dengan penduduk rumah tumpangan tersebut tetapi sesiapa jua.

Apabila kita berbual dengan dengan penduduk-penduduk rumah tumpangan tersebut, mereka mungkin aka bercerita pengalaman dan sejarah kehidupan mereka. Perkara ini mungkin akan membuat mereka berasa sedih. Untuk menghiburkan hati mereka, kita bolehlah berbual tentang topik yang lain ataupun menyanyi dan bermain bersama mereka. Saya juga rasa dengan berbuat sedemikian kita dapat menghilangkan rasa kesunyian yang mereka sedang alami. Selain itu kita juga dapat melakukan kerja-kerja ringan seperti mengemaskan katil mereka dan membantu penduduk warga tua di tumpangan itu makan, dengan menyuap mereka yang memerlukan bantuan.

Untuk menambahkan keindahan sekeliling rumah tumpangan itu pula kita bolehlah menanam pokok bunga di taman, jika diberi keizinan. Selain menambahkan keindahan, penduduk juga boleh melihat kehijauan tanam-tanaman tersebut sambil menikmati udara segar di taman itu. mungkin perkara sedemikian dapat menggembirakan mereka.

Pada pendapat saya, kerja sukarelawan dan kebajikan ini adalah satu kegiatan yang bagus kerana pada masa yang sama saya dapat menyumbang kepada masyarakat. Apa yang saya perlukan adalah masa untuk diluangkan untuk kegiatan tersebut. Saya pasti saya akan berpuas hati jika saya dapat menghiburkan hati penduduk di rumah-rumah tumpangan tersebut dan juga membantu mereka.

Banyak yang dapat saya pelajari daripada kegiatan tersebut yang dapat saya mengaplikasikan dalam kehidupan dan kegiatan harian saya.Apa yang mungkin saya dapat pelajari daripada kegiatan ini juga adalah untuk menghargai apa yang saya ada sekarang. Contohnya, ibu bapa dan keluarga tersayang. Kegiatan ini tidak akan saya hentikan begitu sahaja. Mungkin aktiviti ini akan saya jadikan satu kegiatan jangka panjang.

Monday, July 14, 2008

Tokoh: Hamka

*Sumbangan*
· Sumbangan berdakwah,ceramah dan penulisan
· Menerbitkan majalah Khitabah al-Ummah
· Menubuhkan Persatuan Hindia Timur (untuk menunjuk ajar cara menunaikan haji)
· Menubuhkan koleh Kuliah al-Muballighin
· Menerbitkan majalah Pedoman Masyarakat (menyedarkan rakyat kepada kemajuan zaman)
· Menerbitkan majalah Panji Islam dan Gema Islam
· Bergiat dalam politik
· Menghasilkan kitab Tafsir al-Azhar (semasa dalam penjara)

*Kelahiran*

-HAMKA adalah akronim namanya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Lahir di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, 17 Februari 1908

*Keluarga/kehidupan*

Ayahnya, Syeikh Abdul Karim bin Amrullah, disapa Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah(tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah 1906.

*Pendidikan*
Pendidikan;
· Dari bapa dan datuknya
· Mempelajari al-quran serta menghafaznya
· Belajar di beberapa buah tempat di Indonesia seperti di Jogjakarta
· Mempelajari ilmu tafsir

HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga Darjah Dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. HAMKA juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparonto dan Ki Bagus Hadikusumo

*Masa hayatnya*
Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929.
Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padangpanjang pada tahun 1929. HAMKA kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padangpanjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.Hamka juga aktif dalam gerakan Islam melalui pertubuhan Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.Pada tahun 1953, Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.Kegiatan politik HAMKA bermula pada tahun 1925 apabila beliau menjadi anggota parti politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang kemaraan kembali penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerila di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, HAMKA dilantik sebagai ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun1966, HAMKA telah dipenjarakan oleh Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mula menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, HAMKA dilantik sebagai ahli Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an lagi, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. HAMKA juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.



*Sifat peribadi*
· Pintar dan bijak (menghafaz al-quran dalam masa yang singkat)
· Fasih berhujah
· Mahir menggunakan bahasa arab
· Bersifat kepimpinan
· Kreatif dalam penulisan

Dipetik daripada lelaman: http://www.sabah.edu.my/cwm010/hamka.htm dan http://www.e-ti.com/ensiklopedi/h/hamka/index.shtml dan http://id.wikipedia.org/wiki/Haji_Abdul_Malik_Karim_Amrullah

Thursday, June 26, 2008

Subuh Hilang Senja

Kerja-kerja dan nota-nota untuk novel Subuh Hilang senja:

  1. Sinopsis
  2. Soalan:- Bina beberapa soalan daripada setiap bab.
  3. Peta minda setiap bab
  4. Bab-bab yang akan diuji dalam peperiksaan. (bab1-bab 8)

Sinopsis Subuh Hilang Senja


***Sampul Novel Subuh Hilang Senja Edisi Baru***
Sinopsis Novel
BAB 1
1. Mr Hatta, Tan Peng Yeo (Senja), Bujang Muhammad dan Salih Abdul Samad menziarahi Subuh Bin Mahmud di Hospital Universiti. Mereka meninggalkan hospital tersebut lalu pergi makan di pusat makanan di Pasir Panjang.
2. Mr Rodrigues (Naib Pengetua, dan guru Bahasa Inggeris Subuh dan kawan-kawannya) datang menziarahi Subuh. Beliau digelar ‘Gerago’ dan tidak disukai oleh Subuh dan kawan-kawannya kerana bersikap tidak adil apabila menghukum pelajar-pelajarnya.
3. Di hospital, Subuh yang belum sedar-sedar, ditemani bapanya, Pak Mahmud, ibu tirinya, Cik Besar, dan bapa Senja, Tan Peng San. Tan Peng San memuji-muji sikap Subuh yang suka menolong orang lain. Pak Mahmud hiba mengenangkan nasib anaknya yang sering dia abaikan. Mr Rodrigues yang datang berziarah memberi $20.00 kepada Pak Mahmud sebelum beredar.
4. Pak Mahmud dan Cik Besar pulang menaiki van yang dipandu oleh Tan Peng San. Pak Mahmud dirundung rasa kecewa – mengenangkan kisah silamnya sewaktu menjawat tugas sebagai Tuk Penghulu di Pulau Seking. Pak Mahmud memuji-muji Tan Peng San kerana keberuntungan Tang Peng San daripada dirinya sendiri. Perniagaan runcit Tang Peng San kini lebih maju – ‘…kau sudah ada kedai besar, sudah ada van, sudah ada pembantu.’ (ms. 9)
5. Tan Peng San menasihati Pak Mahmud supaya banyak bersabar. Dalam perbualannya, terucap kata –kata seperti ‘…kita berdoalah kepada Tuhan, mudah-mudahan Subuh selamat!” (ms.10). Tan Peng San memberitahu Pak Mahmud bahawa dia sedang belajar untuk menjadi seorang Islam. Tan Peng San juga menghulurkan sedekah $50.00 dan menawarkan pekerjaan sebagai pembantu di kedai runcitnya kepada Pak Mahmud. Pak Mahmud yang masih menganggur didesak oleh isterinya aga menerima sahaja tawaran Tan Peng San itu.
BAB 2
1. Mr. Hatta dan rakan-rakan Subuh yang sedang menghadapi hidangan di pusat penjaja Haw Par Villa, Pasir Panjang. Mereka berbualkan tentang kejadian malam sebelumnya – peristiwa sebab berlakunya Subuh ditikam dan dimasukkan ke dalam hospital.
2. Senja menerangkan peristiwa mereka mematahkan percubaan rompakan atas sepasang kekasih itu termasuk kejadian Subuh ditikam kepada Mr. Hatta.
2.1 Mereka berempat sedang berehat di Science Park setelah membaca buku Ekonomi.
2.2 Sebuah kereta berhenti tidak jauh dari sebuah kereta pasangan kekasih yang cuba dirompak itu.
2.3 Seorang lelaki dan perempuan keluar dari kereta mereka sambil berpeluk-pelukan, mundar-mandir beberapa kali di situ sebelum berhenti di sisi kereta pasangan kekasih tersebut.
2.4 Mencurigai akan kelakuan pasangan yang mundar-mandir itu, Subuh mengajak rakan-rakannya mendekati pasangan-pasangan itu. Subuh dan Senja bergerak di bahagian kanan sementara Bujang dan Sali di bahagian kiri.
2.5 Kereta pasangan perompak itu mendekati tempat mereka tuju dari belakang. Pasangan perompak lalu berkejar ke arah kereta mereka. Subuh menerkam lelaki tersebut lalu berlaku pergelutan. Senja pula cuba menahan perompak perempuan itu tetapi tidak berjaya.
2.6 Keadaan malam yang sungguh kelam itu menyukarkan Senja, Bujang dan Salih mengecam Subuh. Sebelum sempat mereka berbuat apa-apa, perompak lelaki itu berlari ke arah keretanya yang sudah dihidupkan enjinnya.
2.7 Subuh pula terbaring di atas jalan memegang dadanya, bajunya hitam kesan darah. 10 minit kemudian, Subuh dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
3. Bujang memberitahu Mr. Hatta bahawa perompak tersebut terdiri daripada 3 orang – seorang sebagai pemandu kenderaan dan seorang lelaki lain dan seorang perempuan pula melakukan rompakan tersebut, Pasangan kekasih yang mereka bantu itu meninggalkan tempat kejadian sewaktu mereka sedang menolong Subuh yang cedera parah.
4. Senja terkenang kembali akan peristiwa malam itu – dia teringat akan pesanan Subuh agar dirahsiakan identiti pasangan yang dirompak, iaitu Mr Rodrigues (naib pengetua maktab mereka) dan Cikgu Roziah (isteri Mr. Husin, guru PE mereka). Subuh meminta Senja berjanji tidak membocorkan maklumat itu.
5. Senja memberitahu Salih dan Bujang akan rahsia tersebut. Salih dan Bujang Senja minta merahsiakan maklumat itu demi menghormati permintaan Subuh yang mahu menyelamatkan maruah guru-guru mereka (Cikgu Roziah dan Mr. Husin), bangsa Melayu dan orang-orang Islam daripada tercemar. Walaupun membenci Mr. Rodrigues, mereka terpaksa merahsiakan maklumat tersebut.
6. Senja memberitahu Mr. Hatta bahawa sesudah itu mereka pergi ke Balai Polis Clementi Town untuk membuat laporan. Mereka melaporkan kejadian itu dan mengaku bahawa mereka tidak dapat mengecam nombor plat kedua-dua kereta yang terlibat.
7. Senja terkenang kembali akan peristiwa malam itu. Dia kesal kerana tidak dapat memberikan maklumat yang sebenarnya dalam laporan mereka demi melindungi identiti Cikgu Roziah. Senja hairan akan sikap Cikgu Roziah yang berlaku curang terhadap suaminya. Senja juga terbayang akan sikap Mr. Rodrigues yang tampan tetapi selalu berat sebelah – ‘apabila mengajar dan bercakap dengan pelajar perempuan begitu lemah-lembut dan berbudi bahasa, tapi apabila bercakap dengan pelajar lelaki selalu menengking-nengking sahaja.’ (ms.10).
BAB 3
1. Senja, Bujang dan Salih berada di Science Park. Salih tidak berpuas hati kerana terpaksa merahsiakan kejadian tersebut kerana dia amat membenci Mr. Rodrigues. ‘… Pedulikan Si Serani itu dapat malu. Aku memang benci dengan dia tu!” sebut Salih (ms.23). Salih juga kedal dengan sikap Mr. Rodrigues yang berpura-pura baik di hadapan Pengetua maktab mereka tetapi sebenarnya seorang yang pemalas – ‘… dua minggu sekali kasi compo, tapi buku kita, tapi buku kita, kertas kita tak pernah dibalikkan.’ (ms.23)
2. Bujang cuba meyakinkan Salih yang mereka terpaksa berahsia tentang kejadian tersebut kerana bukan Mr. Rodrigues sahaja yang terlibat. Memandangkan Cikgu Roziah terlibat sama, Subuh meminta supaya perkara itu dirahsiakan demi menjaga maruah guru dan bangsa Melayu.
3. Bujang juga kesal kerana Mr. Rodrigues telah memecatnya daripada pasukan kadet dan dia juga telah diturunkan pangkat daripada koperal menjadi lans-koperal. Mr. Rodrigues telah bertindak tanpa usul periksa dan mengikut kehendak hatinya sendiri walaupun tiada bukti menunjukkan Bujang bersalah dalam kes kecurian di RI. Bujang telah ke RI untuk melihat ‘camping details’ dan dia dilepaskan oleh guru yang menahannya di RI kerana tiada bukti yang menunjukkan Bujang ke sana untuk mencuri. Walaupun pihak maktab menghukum Bujang, Cikgu Saerah tetap mempercayai akan kejujurannya.
4. Salih pula tidak suka akan sikap Cikgu Saerah yang disifatkannya macam ‘… emak-nenek. Suka berleter saja!’ (ms.26). Salih dileteri Cikgu Saerah kerana selalu tidak menghantar buku karangan di samping sikap Salih yang gemar berdua-duaan dengan pelajar perempuan seperti Munah dan Faridah. Salih menganggap Cikgu Saerah ‘… suka jaga hal orang…’ tetapi Bujang berpendapat Cikgu Saerah bersikap demikian kerana menjalankan tugasnya selaku salah seorang guru disiplin.
5. Bujang juga teringat yang Subuh pernah menyelamatkan dirinya daripada didenda oleh Mr. Hatta. Subuh telah berbohong kepada Mr. Hatta dengan mengatakan dialah yang menaruh berus-berus milik maktab itu yang dilaporkan hilang ke dalam beg Bujang. Bujang sendiri berasa hairan akan berus-berus yang berada dalam begnya. Bujang percaya ada pelajar-pelajar yang sakit hati terhadapnya – supaya dia akan dituduh mencuri barang-barang tersebut. Ini akan membuktikan juga dakwaan Mr. Rodrigues bahawa Bujang seorang pencuri adalah benar.
BAB 4
1. Senja (Tan Peng Yeo) sedang duduk di hadapan Masjid Darussalam. Di dalam masjid para jemaah sedang bersolat dan imam sedang membaca Al-Fatihah. Senja terkenang akan kata-kata Subuh yang menggalakkannya supaya mendirikan salat kerana Senja sudah memeluk agama Islam. Senja telah mengucap dua kalimah syahadah dan disaksikan oleh Ustaz Usman, Subuh dan rakan-rakannya. Bujang menyarankan secara bergurau supaya Tan Peng Yeo memilih nama ‘Senja; sebagai nama Islamnya kerana keakrabannya dengan Subuh. Tan Peng Yeo bersetuju dan kawan-kawannya memanggilnya Senja sejak hari itu.
2. Sena memberitahu Ustaz Usman yang keinginannya untuk memeluk agama Islam adalah atas kesedarannya sendiri, tidak dipaksa oleh sesiapa pun. Dia memberitahu mereka yang dia sudah bergaul dengan orang Melayu (Islam) sejak kecil lagi di Pulau Seking. Begitu juga dengan keluarganya. Cara makanan dan masakan, pakaian dan perbualan pun menggunakan cara-cara orang Melayu. Subuh ialah kawan rapatnya sejak kecil dan mereka umpama adik-beradik.
3. Senja menjelaskan yang dia tertarik dengan agama Islam kerana setiap kali mendengar azan dilaungkan, dia berasa tenang dalam jiwanya. Dia mula merujuk buku-buku agama yang dipinjam dari perpustakaan dan daripada Cikgu Saerah. Sejak itu, dia mulai tertarik hati dengan agama Islam dan tambahan pula, keluarganya tidak mempunyai sebarang pegangan agama.
4. Senja kemudian teringat akan Subuh yang muncul di hadapan rumahnya pada suatu petang kira-kira jam . Subuh kelihatan muram. Subuh dengan sikap Senja yang memahami hati kawan-kawannya.
5. Di Science Park, Subuh meluahkan isi hatinya. Dia telah berselisih faham dengan ibu tiri dan bapanya. Ibu tirinya meminta dia menjaga adik-adiknya yang berumur 4 dan 5 tahun. Subuh keberatan kerana dia hendak ke perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran bagi peperiksaannya. Ibu tirinya menuduhnya membuang masa pergi menghendap pasangan kekasih yang sang berasmara dan bukan pergi belajar. Ibunya juga menghina-hinanya dengan kata-kata ‘… tak sedar diri menumpang, tahu-tahu balik hendak makan saja.’ (ms.43). Subuh kemudian dihalaunya dengan kata-kata ‘… kalau tak suka tinggal di rumah, lebih baik berhambus.” (ms.43). Buku-buku Subuh dihumbankan ke luar sehingga ada yang koyak. Ibu tirinya juga mencelanya dengan kata-kata ‘…anak kaki lima tak sedar diri.’ (ms.43).
6. Subuh menentang ibu tirinya dengan mengatakan ibu tirinya kurang ajar. Subuh lalu ditampar oleh bapanya, Subuh kemudiannya menuduh bapanya, Pak Mahmud ‘… orang tua tak sedar diri, kerana dia berkahwin dengan ibu tiriku, emakku sakit hati lalu meninggal…’ (ms.44).
7. Pada malam itu dan beberapa hari sesudah itu, Subuh menginap di rumah Senja buat semenara waktu. Ibu dan bapa Senja berasa belas melihat keadaan Subuh dan membenarkannya menginap di situ buat sementara waktu. Namun, Subuh tidak suka berlama di situ kerana akan menyusahkan Senja sekeluarga. Subuh lebih senang tidur di surau Pasir Panjang daripada menumpang di rumah teman, kakak-kakak atau abang-abangnya.
8. Bujang dan Salih telah selesai bersolat. Mereka menegur Senja yang terlalu banyak bermenung mengenangkan Subuh. Bujang berpendapat yang Senja tidak akan terlalu sangat teringat-ingatkan Subuh jika dia ikut mereka salat bersama-sama.
BAB 5
1. Senja berada di beranda flatnya di tingkat 12 West Coast Road. Dia terkenang akan kisah sewaktu zaman kanak-kanaknya bersama-sama Subuh; bermain-main guli, jelon, kejar-kejar dan apabila air pasang mereka terjun ke laut. Bujang juga ada bersama-sama mereka. Mereka bermain-main dan pergi ke sekolah bersama-sama. Sewaktu mereka di menengah 1, mereka berkenalan dengan Salih. Bapa Salih bekerja di sebuah bank di Orchard.
2. Senja rasa bersalah apabila mengenangkan keadaan Subuh yang terlantar di hospital. Dia menyesal kerana tidak melarang Subuh daripada mencampuri urusan orang lain. Dia sentiasa berdoa supaya Subuh dapat diselamatkan – supaya Subuh dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti dan membuktikan kepada Mr. Rodrigues yang mereka anak pulau juga mampu cemerlang dalam pelajaran.
3. Senja dikunjungi Mr. Rodrigues. Dia kurang senang dengan kehadiran Mr Rodrigues yang pernah merotannya dengan kawan-kawannya kerana mereka tidak turun bermain bola sewaktu pasukan maktabnya menentang maktab lain.
4. Senja memberitahu Mr. Rodrigues yang dia tahu kehadiran Mr. Rodrigues dengan Cikgu Roziah di Science Park pada malam kejadian Subuh ditikam. Senja menyatakan bahawa Subuh yang nampak mereka berdua dalam kereta. Subuh yang memberitahunya sebelum Subuh jatuh pengsan. Senja kesal kerana Mr. Rodrigues tidak membantu menyelamatkan Subuh yang cedera parah setelah cuba membantunya. Mr. Rodrigues mengatakan yang dia ‘… sangat-sangat menyesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa…’ (ms.50).
5. Senja menempelak gurunya kerana penyesalan Mr Rodrigues itu sudah terlambat kerana Subuh telah kehilangan banyak darah dan masih dalam koma. Mr. Rodrigues memohon pertolongan Senja dan kawan-kawannya untuk merahsiakan identitinya dan Cikgu Roziah daripada pengetahuan pihak polis. Senja memberitahu Mr. Rodrigues bahawa mereka telah melaporkan kepada polis yang mereka tidak mengenali pasangan dan nombor plat kereta mereka juga kerana tidak dapat melihat dengan jelas kerana keadaan begitu gelap.
6. Mr. Rodrigues lega mendengarkan penjelasan Senja. Dia tidak menyangka bahawa Subuh mempunyai hati yang baik. Senja menempelaknya dengan kata-kata ‘… Itulah Sir… kita tidak boleh pandang orang selalu rendah. Dalam kerendahan manusia ada sifat mulianya yang kita tidak tahu, sebaliknya dalam ketinggian manusia biasanya ada sifat syaitannya pula!’ (ms.53).
7. Mr. Rodrigues walaupun berasa sakit hati mendengar akan sindiran Senja itu, dia terpaksa bersabar kerana memerlukan pertolongan mereka untuk menutup mulut. Dia berkeras agar Senja menerima wang $100.00 untuk dibahagi-bahagikan sesama dua orang rakannya yang lain. Pemberian itu sebagai tanda terima kasihnya dan berharap Senja dan rakan-rakannya akan menyimpan rahsia yang mereka tahu.
8. Senja berbohong kepada bapanya dengan mengatakan Mr. Rodrigues memberi duit kepadanya sebagai upah. Upah kerana dia dan rakan-rakannya ada menolong Mr. Rodrigues mengangkat barang-barang di sekolah dan di rumahnya. Senja bercadang memberitahu Bujang dan Salih tentang kunjungan Mr. Rodrigues ke rumahnya. Senja juga berhasrat untuk memulangkan wang tersebut kepada gurunya esok.
BAB 6
1. Senja berada di dalam bas. Duit $100.00 yang diberi Mr. Rodrigues ada dalam sakunya. Dia teringat akan peristiwa Mr. Rodrigues mengumumkan kepada semua pelajar dalam terhimpun maktab mereka yang Subuh, Senja, Bujang dan Salih menunjukkan sikap tidak setia kepada maktab mereka kerana ponteng latihan bola sepak. Akibatnya, pasukan maktab mereka seri dalam perlawanan sedangkan peluang mereka untuk menang cerah. Sebagai hukuman, Subuh dan kawan-kawannya dikenakan hukuman sebat 3 rotan setiap seorang. Mereka juga digugurkan daripada pasukan bola sepak maktab.
2. Senja bertemu Bujang di stesen MRT Clementi. Senja memberitahu Bujang tentang duit pemberian Mr. Rodrigues. Bujang menyarankan agar mereka memulangkan duit Mr. Rodrigues kerana sedari mula mereka telah bersetuju dan berpakat untuk merahsiakan maklumat peristiwa malam itu. Oleh itu, mereka sependapat bahawa Mr. Rodrigues tidak perlu menyogok mereka dengan wang.
3. Bujang membayangkan reaksi Salih tentang pemberian wang itu. Salih pasti berkeras menyuruh mereka menyimpan wang tersebut kerana bimbang Mr. Rodrigues akan menghukum mereka dengan menyebat mereka sekali lagi di atas pentas sekolah di hadapan khalayak pelajar-pelajar lain maktab itu sekiranya wang itu dikembalikan.
BAB 7
1. Di bilik guru, Cikgu Saerah dan Mr. Hatta sedang sibuk menyemak buku-buku pelajar-pelajar mereka. Mr. Ghazali memberitahu mereka berdua bahawa berita tentang Subuh dan tiga orang rakannya mematahkan percubaan merompak sepasang kekasih di Science Park, tersiar di dada akhbar. Berita tersebut juga melaporkan Subuh telah tertikam di bahagian atas perutnya dan kini di hospital dalam keadaan koma.
2. Guru-guru yang berada di situ membincangkan tentang Subuh dan kawan-kawannya yang berada di Science Park pada malam kejadian tersebut. Mr. Ghazali berseloroh bahawa Subuh dan kawan-kawannya sedang menghendap pasangan-pasangan yang sedang berasmara. Namun, Mr. Hatta mempertahankan pelajar-pelajar itu kerana menurutnya, adalah tidak adil menuduh Subuh dan kawan-kawannya sedemikian tanpa bukti. Mr. Danny Koh juga menyokong dengan mengatakan Subuh dan kawan-kawannya pelajar-pelajar yang baik. Mr. Danny Koh mengajar mereka sejak di peringkat menengah dua.
3. Mr. Ghazali menimbulkan kes Subuh dan kawannya disebat kerana tidak mengutamakan maktab mereka. Alasan mereka beri kerana tidak hadir latihan bola adalah – tak ada wang tambang untuk pergi ke maktab, terpaksa bekerja sambilan untuk mencari duit tambahan bagi perbelanjaan pengajian di Kolej Elite Bebas itu.
4. Cikgu Saerah pula mengingatkan yang lain bahawa sejak di ‘junior school’, Subuh dan kawan-kawannya telah menaikkan nama maktab khususnya dalam lapangan sukan bola sepak. Oleh itu, adalah tidak adil mereka dituduh tidak taat kepada maktab mereka. Cikgu Saerah juga memberitahu guru-guru lain yang Subuh tidak pernah mendapat wang saku dan sebagainya daripada bapanya. Subuh terpaksa bekerja sambilan di pusat penjaja setiap hari selepas waktu sekolah untuk mencari duit belanja bagi dia gunakan untuk meneruskan pengajiannya di maktab tersebut.
5. Cikgu Saerah juga melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pengetua maktab mereka yang sentiasa menyebelahi Mr. Rodrigues, naib pengetuanya walaupun Cikgu Saerah memohon agar kes Subuh dan kawan-kawannya itu disiasat dengan teliti sebelum mereka dihukum.
BAB 8
1. Senja, Bujang dan Salih berada di padang maktab mereka, selepas latihan jasmani. Senja memberitahu Salih tentang kedatangan Mr. Rodrigues ke rumahnya dan wang $100.00 yang diberi untuk mereka berempat. Salih berpendapat mereka simpan sahaja wang tersebut kerana mereka sudah berpakat untuk tidak membocorkan rahsia hubungan Mr. Rodrigues dan Cikgu Roziah. Dia menegaskan bahawa mereka boleh menyerahkan wang tersebut bagi kegunaan persatuan bahasa sekolah jika mereka enggan menggunakannya.
2. Senja kurang bersetuju kerana khuatir akan tindakan mereka itu akan disalah anggap oleh guru-guru lain dan para pelajar maktab itu. Mereka akan dituduh sanggup menutup mulut mengenai rahsia Mr. Rodrigues itu setelah disogok sebanyak $100.00.
3. Salih naik berang mendengar pandangan Senja kerana baginya, tiada gunanya mereka merahsiakan perkara tersebut jika pada akhirnya akan terbongkar juga. Senja menegaskan bahawa jika rahsia itu terbongkar juga akhirnya, itu bukan urusan mereka lagi kerana bukan mereka yang membocorkan rahsia itu.
4. Senja memujuk Salih supaya bersabar dalam mengatasi masalah yang mereka hadapi itu kerana tidak bererti mereka kalah walaupun mereka bersabar. Salih akhirnya akur dengan nasihat Senja dan dia menurut sahaja keputusan mereka asalkan mereka tidak dirotan lagi di atas pentas.
5. Senja bercadang menziarahi Subuh di hospital pada petang itu untuk memberitahu Subuh perkembangan tersebut. Dia yakin yang Subuh akan sependapat dengan mereka – memulangkan duit Mr. Rodrigues.
6. Mr. Husin, suami Cikgu Roziah yang mengajar mereka latihan jasmani, meminta Senja memeriksa perkakas PE yang para pelajar gunakan. Senja berasa kasihan melihat Mr. Husin yang dipermainkan oleh isterinya, Cikgu Roziah yang menjalin hubungan sulit dengan Mr. Rodrigues. Pada ketika itu pula, isterinya sedang berbual-bual mesra dengan Mr. Rodrigues di telefon. Mr. Rodrigues meyakinkan kekasihnya yang dia telah meminta Senja dan kawan-kawannya merahsiakan hubungan mereka dan peristiwa pada malam itu. Mr. Rodrigues hanya berasa bimbang akan sikap Bujang dan Salih yang dia anggap sebagi pendendam. Mr. Rodrigues berpendapat sedemikian kerana dia pernah merotan kedua-dua orang pelajar itu di atas pentas kerana mereka tidak menghadirkan diri sewaktu perlawanan pasukan bola sepak maktab mereka.
BAB 9
1. Cikgu Serah dan Mr. Hatta bercadang menziarahi Subuh di hospital pada petang itu. Mr. Rodrigues masuk ke bilik guru dan memaklumkan bahawa pegawai polis akan datang ke sekolah meminta keterangan daripada Senja, Bujang dan Salih. Guru-guru itu berasa hairan memikirkan pelajar-pelajar mereka itu tidak mencatatkan nombor plat kedua-dua kereta yang terlibat dalam kejadian itu.
2. Di bilik pengetua, Mrs. Teo Lam Tay dan Mr. Rodrigues sedang memerah otak mencari ikhtiar bagi ‘... keselamatan peribadi Mr. Rodrigues dan nama baik Maktab Bebas Elite.’ (ms.97). Mr. Rodrigues meyakinkan Mrs. Teo bahawa dia telah bertemu Senja. Senja telah memberinya jaminan yang rahsia pembabitan Mr. Rodrigues dan Cikgu Roziah pada malam itu tidak akan dibocorkan. Senja memberi jaminan bahawa rakan-rakannya juga akan melakukan perkara yang sama.
3. Mrs. Teo ragu-ragu akan tindakan Senja dan kawan-kawannya untuk merahsiakan pembabitan Mr. Rodrigues dan Cikgu Roziah itu dalam kejadian tersebut. Menurut Mrs. Teo, ‘... bolehkah kita percaya kepada mereka yang berlainan kulit dengan kita?’ (ms.98). Mr. Rodrigues meyakinkan ketuanya yang Subuh disifatkan sebagai ketua dalam kumpulan pelajar-pelajar berempat itu. Maka, Senja sebagai orang kanan Subuh dan kedua-dua orang rakannya yang lain akan menurut permintaan Subuh agar mereka menjaga nama baik guru-guru dan maktab.
4. Mr. Rodrigues juga menegaskan bahawa jika mereka tidak menghukum pelajar-pelajar itu maka rahsianya tidak akan terbongkar kerana Salih takut dihukum di hadapan khalayak pelajar lain dan juga takut akan kemarahan bapanya sendiri. Mr. Rodrigues juga mendedahkan bahawa dia tahu bahawa Bujang tidak mencuri di RI dan tidak pernah menggaris kereta kepunyaannya walaupun telah dihukum. Menurutnya, Bujang amat taat kepada Subuh dan Senja kerana mereka datang dari pulau yang sama.
5. Mrs. Yeo lega mendengar penjelasan Mr. Rodrigues. Dia tidak menyangka bahawa Subuh dan rakan-rakannya adalah pelajar-pelajar yang baik dan taat kepada Maktab.
BAB 10
1. Senja, Bujang dan Salih di luar bilik pengetua maktab. Salih bimbang akan disebat kerana berada di Science Park pada malam tersebut. Dia khuatir peristiwa itu dinilai oleh pengetua maktabnya sebagai perbuatan yang memalukan maktab kerana mereka berada di sana pada waktu malam sedangkan mereka sepatutnya berada di rumah atau di perpustakaan mengulang kaji pelajaran. Salih juga teringat akan kemarahan bapanya yang melarang dia berkawan dengan Subuh, Senja dan Bujang yang dianggap sebagai pengaruh negatif atas dirinya.
2. Senja pula terkenang akan Subuh yang masih terlantar di hospital. Dia berdoa dalam hatinya supaya Subuh segera sembuh dan dapat meneruskan pelajarannya. Senja mahu Subuh mencapai cita-citanya masuk ke Universiti Nasional Singapura (NUS) dan membuktikan kepada guru-guru dan kawan-kawan mereka yang lain bahawa ‘... anak pulau tidak kalah dengan anak tanah besar, anak kota, anak orang kaya.’ (ms.103).
3. Senja juga cuba menenangkan Salih yang dilanda keresahan. Senja mengingatkan Salih akan peristiwa dua tahun lalu sewaktu mereka masih di menegah empat. Mereka telah diserang oleh sekumpulan remaja Cina di pusat penjaja. Walaupun remaja Cina tersebut terdiri lebih daripada 10 orang, Subuh menasihati kawan-kawannya agar jangan gentar dan usah melarikan diri. Sali tercerdera di kepalanya dan bersembunyi di salah sebuah gerai di situ manakala Subuh, Senja dan Bujang terus mempertahankan diri mereka. Berbekalkan ilmu pertahanan diri yang mereka tuntut sewaktu tingal di Pulau Seking, mereka bertiga berjaya mengalahkan remaja-remaja itu yang akhirnya lari meninggalkan pusat penjaja itu sebelum ketibaan pihak polis.
4. Senja, Bujang dan Salih disuruh masuk ke bilik pengetua maktab. Mrs. Teo mengenalkan mereka kepada Inspektor Bakar. Inspektor Bakar terus menyoal siasat mereka berhubung kejadian malam Subuh ditikam. Beliau bertanyakan nombor plat kereta pasangan muda yang telah mereka bantu. Senja memberitahu yang dia nampak nombor plat tersebut tetapi lupa mencatatnya kerana dia panik melihatkan Subuh yang terbujur dengan badan berlumuran darah. Bujang juga memberitahu hal yang sama kerana tumpuan mereka pada waktu itu hanyalah untuk menyelamatkan sahabat mereka, Subuh yang cedera parah. Tambahan pula, menurut Bujang, ‘... Lampu kereta itu tidak hidup dan kereta itu berada di tempat yang gelap.” (ms.108).
5. Salih pula meluahkan perasaan marahnya terhadap pasangan yang lari meninggalkan tempat itu walaupun telah ditolong. Katanya, ‘... Saya memang marah kepada mereka. Saya memang dendam kepada mereka. Saya mesti beritahu nombor plat kereta itu...! (ms.109). Kata-kata Salih itu membuat rakan-rakannya berdebar-debar, termasuk Mr. Rodrigues yang menyumpah-nyumpahnya dalam hati – ‘... Jahanam budak celaka ni!’ (ms.109). Namun demikian, Salih menyambung dengan kata0kata, ‘... Tapi... sayang, saya tak tahu!’ (ms.109).
6. Pengakuan Salih itu melegakan Senja dan Bujang, dan terutama sekali Mr. Rodrigues yang begitu khuatir akan rahsianya itu terbongkar. Mereka keluar dari bilik pengetua maktab dengan melayan fikiran masing-masing. Senja memberitahu Bujang dan Salih bahawa dia ingin menziarahi Subuh di hospital kerana kata, ‘...Aku tidak sedap hati! (ms.110).
BAB 11
1. Mr. Hatta dan Cikgu Saerah berada di kantin maktab. Mr. Hatta berpendapat Senja dan rakan-rakannya ada menyembunyikan sesuatu. Dia juga musykil akan reaksi Mr. Rodrigues yang tidak mengutuk perbuatan Subuh serta rakan-rakannya di Science Park pada malam tersebut. Biasanya, Mr. Rodrigues ialah orang yang pertama ‘... yang menghentam habis-habis fasal moral budak-budak tu.’ (ms.112). Mr. Hatta mendapati reaksi Mr. Rodrigues mengenai kejadian itu agak ganjil dan ‘... macam ada yang tak kena saja.’ (ms.112). Cikgu Saerah pula berhasrat untuk bertanya Senja dan kawan-kawannya kalau-kalau mereka ada menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan guru-guru.
2. Senja dan Bujang memberitahu Cikgu Saerah yang mereka tidak dapat menghadiri pertandingan bahasa pada hari itu kerana mereka hendak pergi ke hospital. Menurut Bujang, sewaktu dia menelefon ke rumah Subuh untuk bertanya khabar, Pak Mahmud dan Cik Besar telah pergi ke hospital tergesa-gesa kerana Subuh dikatakan dalam tenat. Cikgu Saerah membenarkan mereka pergi dan meminta mereka memberitahunya tentang perkembangan keadaan Subuh.
3. Mr. Ghazali bertengkar dengan Mr. Hatta dan Cikgu Saerah tentang pemecatan Subuh daripada pasukan bola sepak maktab mereka. Mr. Hatta berpendapat yang politik negara tidak ada bezanya dengan politik maktab. Manusia tidak bebas melakukan sesuatu tanpa perasaan khuatir akan berlaku sesuatu kepadanya. Mr. Ghazali berasa tercabar kerana Mr. Hatta seakan-akan menuduhnya memecat Subuh kerana takut akan Mr. Rodrigues.
4. Mr. Hatta seterusnya menambah bahawa dia dan Cikgu Saerah dipecat daripada
Jawatankuasa Tatasusila Pelajar kerana mereka berdua mengundi untuk menentang pemecatan Subuh. Cikgu Saerah merujuk tiga kes lagi yang melibatkan guru yang digugurkan daripada jawatankuasa itu dalam tahun pemilihan baru. Cikgu Saerah menegaskan yang, ‘... manusia itu semuanya sama. Pemimpin politik atau pemimpin sesuatu institusi di mana sekalipun di dunia ini, apabila mereka sudah mempunyai ‘kekuasaan’, mereka akan menggunakan ‘kekuasaan’ itu untuk menindas lawannya. Dan setiap lawan mesti dimusnahkan.... Jadi kejujuran dan keadilan di dunia ini sebenarnya tidak ada. Kalau ada hanya pseudo atau palsu saja...’ (ms.117).
5. Mr. Hatta, Cikgu Saerah dan Mr Balasundram berpakat untuk menziarahi Subuh pada petang itu.
BAB 12
1. Mr. Hatta, Cikgu Saerah dan Mr. Balasundram sampai di National University Hospital (NUH) kerana mendapat panggilan telefon daripada Bujang yang memberitahunya keadaan Subuh yang sudah kian tenat dan tiada harapan untuk sembuh kerana masih belum sedar-sedar daripada koma.
2. Sewaktu mereka sampai di Wad 45, Pak Mahmud dan ibu tiri Subuh, Cik Besar berada di situ. Pak Mahmud memeluk Mr. Hatta dan menangis tersedu-sedan. Pak Mahmud memberitahu guru-guru itu bahawa Allahyarham Subuh sudah meninggal dunia pada jam 6.10 petang itu. Tubuh Subuh sudah ditutup dengan kain selimut. Mr. Hatta menyingkap selimut putih tersebut. Cikgu Saerah, Mr. Balasundram dan beberapa orang lain yang beradai di situ berkesempatan menatap wajah Allahyarham yang kelihatan ‘... tenang dan senyum seperti dia sedang tidur nyenyak layaknya.’ (ms.124). Tidak lama kemudian, jururawat dan petugas hospital datang untuk membawa jenazah Subuh ke morgue. Mr. Hatta menahan mereka daripada menyorong jenazah Subuh pergi. Mr. Hatta kemudian bergegas ke bilik doktor yang bertugas.
3. Bujang terkenang akan kata-kata Subuh sewaktu dituduh Mr. Rodrigues tanpa usul periksa dalam kes kecurian di RI. Bujang dipecat dengan tidak semena-mena. Subuh melarang Bujang membalas dendam. Bujang dalam perasaan geramnya mahu membocorkan tayar atau menggaris-garis kereta Mr. Rodrigues sebagai membalas dendam. Subuh mengingatkannya bahawa perbuatan sedemikian hanya akan mengundang terus kemarahan Mr. Rodrigues dan tidak akan menyedarkan ‘Si Gerago’ itu akan kesalahannya. Sebaliknya, tindakan yang buruk itu akan mengkibatkan pelajar-pelajar yang tidak bersalah didenda kerana kemarahan Mr. Rodrigues. Bujang berkata di dalam hatinya bahawa Subuh terlalu baik tetapi tidak panjang umurnya; sebaliknya, ‘... manusia seperti Gerago yang gila dan macam syaitan itu tidak diambil-Nya segera!’ (ms.125).
4. Senja pula teringat kata-kata Subuh yang penuh bersemangat. Kata Subuh, ‘... aku mahu menunjukkan bahawa orang miskin macam aku, boleh belajar sampai universiti supaya orang Melayu yang miskin macam aku ada kemahuan untuk belajar terus... dan yang penting aku tak akan bekerja selepas tamat universiti.’ (ms.126). Subuh menyuarakan hasrat hatinya untuk menjelajah dunia untuk mencari pengalaman hidup. Dia banyak membaca tentang orang-orang terkenal yang banyak mengembara. Begitu juga dengan siswazah dari Eropah dan Amerika yang mengembara selepas lulus dari universiti dan ‘mereka banyak mempelajari cara hidup atau antropologi orang-orang Asia.’ (ms.126). Siswazah-siswazah ini akhirnya mendapat pengetahuan yang tidak terdapat di mana-mana buku pun.
5. Senja berjanji kepada dirinya yang dia akan meneruskan cita-cita Subuh, ‘... percayalah Subuh, di depan mayat kau ini aku berjanji dan semoga Tuhan memberi bantuan dan kekuatan untuk aku melakukannya!’ (ms.127)
6. Salih pula sambil memegang kaki jenazah Subuh yang tegang itu melafazkan ucap maaf dalam hatinya kerana sering menuduh Subuh sebagai pengecut. Kini, dia insaf betapa Subuh sebenarnya seorang yang berani. Salih terus merintih dalam hatinya. Hatinya begitu bergelora mengenangkan nasib malang kawan akrabnya yang baru meninggal. Salih sedar bahawa ‘... kerana keberanianmu Subuh... kau telah menjadi korban, Kau sebenarnya memang seorang ketua.’ (ms.127).
7. Salih mengumpamakan sahabatnya itu sebagai seorang pemimpin ‘... atau ketua yang berani berkorban kedudukan, berani berkorban tenaga, berani berkorban nyawa.’ (ms.127). Sebaliknya, Salih menganggap dirinya ‘... pengecut yang bodoh yang tak mengenal mutiara dan manikam.’ (ms.127). Salih seterusnya memohon maaf atas segala kesilapannya terhadap Subuh dan memaafkan kesilapan Subuh terhadapnya dan menghalalkan segala-galanya. Salih juga teringat akan kata-kata perangsang Subuh kepadanya supaya mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor. Kata-kata Subuh ‘... Tolonglah anak-anak yang lemah dan belajarlah rajin-rajin supaya cita-cita kau tercapai dan ertinya cita-cita kita bersama tercapai juga!” (ms.128). Hati Salih kecut mengenangkan suara Subuh dengan kata-kata itu.
8. Cikgu Saerah pula terharu mengenangkan peristiwa Subuh berjumpanya. Subuh begitu keberatan untuk mengatakan yang dia tidak berwang untuk melunaskan yuran peperiksaan. Setelah dipujuk Cikgu Saerah, Subuh akhirnya mengaku bahawa ‘... bapa saya tak pernah kasi saya duit, Cikgu. Saya cari sendiri pada sebelah petang atau malam. Saya bekerja di Haw Par Villa Food Centre, dapatlah tiga empat dolar satu malam dan ditambah dengan saya mencuci kereta guru-guru... itulah yang saya gunakan untuk tambang, buku dan membayar yuran maktab.’ (ms.128). Mendengarkan penjelasan Subuh, Cikgu Saerah dengan ikhlas memberitahu Subuh bahawa beliau akan melunaskan yuran peperiksaan Subuh. Kata Cikgu Saerah ‘... Lupakan bayar balik, Cikgu hadiah pada awak yang jujur dan baik! Ingat belajar bersungguh-sungguh sudah!” Subuh yang begitu tersentuh dengan kemuliaan dan kemurahan hati gurunya telah mencium tangan gurunya sambil menangis. Subuh teresak-esak ketika itu dan memberitahu Cikgu Saerah yang dia terkenang arwah ibunya yang sentiasa memberinya nasihat yang serupa.
9. Pak Mahmud dan Mr. Hatta kemudian muncul semula. Mr. Hatta memberitahu semua yang hadir bahawa jenazah Subuh sudah boleh dibawa pulang setelah beliau berjaya menjelaskan kepada ketua doktor yang bertugas sebab kematian Subuh itu. Oleh itu, jenazah Subuh tidak perlu ditahan untuk dibedah siasat. Cikgu Saerah melahirkan kesyukuran mendengarkan penjelasan itu.10. Guru-guru yang berada di situ beredar dari hospital dan berjanji akan melayat jenazah Subuh di rumahnya pada malam tersebut.
BAB 13
1. Senja, Bujang dan Salih terus pergi ke rumah Subuh dari hospital. Cikgu Saerah dan suaminya telah tiba di rumah Subuh begitu juga Mr. Hatta. Tidak lama kemudian, Mr. Husin tiba bersama-sama isterinya, Cikgu Roziah. Kemudian diikuti pula dengan pengetua maktab mereka, Mrs. Teo dan Mr. Rodrigues. Mrs. Teo menghulurkan sebuah sampul surat yang berisi kepada Pak Mahmud. Senja, Bujang dan Salih kurang senang melihat kehadiran Mr. Rodrigues yang ‘... pandai berpura-pura’ manakala Cikgu Roziah pula mereka sifatkan sebagai ‘... seolah-olah alim, dengan tudung lingkup dan dengan sopan pula’ tetapi ‘... lebih licin daripada belut! Lebih bisa daripada ular!’ (ms.133).
2. Kelihatan jenazah Subuh tersenyum seperti selalu, ‘... seperti waktu hidupnya yang sentiasa suka senyum.’ (ms.134). Cikgu Saerah yang bersama suaminya ketika itu, melafazkan dalam hati yang dia menghalalkan ‘... segala wang yang telah Cikgu bayarkan untuk duit periksa dan duit maktab, dan cikgu maafkan segala kesilapan Subuh.’ (ms.134). Beliau juga memohon maaf atas kesilapannya terhadap Subuh.
3. Cikgu Yaakub memberitahu guru-guru yang berada di rumah Subuh yang pengetua mereka telah membenarkan para pelajar maktab untuk melayat Subuh selepas waktu rehat.
4. Cikgu Saerah bercerita dengan guru-guru yang lain akan peristiwa Subuh datang bertemu
dengannya meminta maaf kerana ‘memalukan nama anak Melayu kerana saya telah menghampakan harapan Cikgu kepada saya’ berikutan kejadian Subuh dan kawan-kawannya dihukum kerana tidak menghadiri perlawanan pertandingan bola sepak pasukan maktab mereka. (ms.136). Cikgu Saerah juga memberitahu bahawa Subuh meluahkan hasrat hatinya untuk bertukar sekolah di tempat lain. Subuh juga meluahkan rasa sayangnya terhadap Cikgu Saerah. Kata Subuh, ‘Saya suka Cikgu... saya sayang Cikgu macam kakak saya, macam emak saya! Walaupun saya pindah ke tempat lain, saya tetap akan jumpa Cikgu.’ (ms.137).
5. Mr. Hatta pula terkenang hujah Subuh yang berkobar-kobar sewaktu di kelas sastera Inggerisnya. Subuh begitu serius memikirkan tentang ‘... cara orang sekarang yang terlalu berkeras mempelajari ilmu dunia... tapi kita lupa dan kurang hendak mempelajari tentang diri kita sebagai umat Tuhan.’ (ms.138). Mr. Hatta memberitahu yang Subuh kelihatan begitu serius walaupun rakan-rakan darjahnya yang lain ketawa. Menurut Mr. Hatta, Subuh seolah-olah ‘mengetahui sesuatu yang akan terjadi pada dirinya!” (ms.138).
6. Senja walaupun terkial-kial, membaca surah Yasin dalam tulisan rumi. Dia terus membaca dengan taat di depan jenazah teman akrabnya. Fikirannya pula menggelembung, mengenang temannya yang sudah menjadi arwah.
BAB 14
1. Jenazah Subuh diusung oleh Senja, Bujang, Salih dan beberapa orang pelajar maktab yang datang, Pak Mahmud meminta Mr. Hatta memberi ucapan penghormatan terakhir. Mr. Hatta antara lain memberitahu kepada semua orang yang hadir bahawa Subuh ‘... seorang pelajar yang santa hormat kepada guru dan rakan pelajar. Seorang pelajar yang kuat semangat untuk mendapatkan ilmu, Hari ini terbukti dengan berusaha sendiri mengongkosi dirinya membayar yuran maktab, tambang dan lain-lain keperluan hidup.’ (ms.141). Menurut Mr. Hatta, Subuh juga perlu dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar yang tidak mampu, bahawa untuk belajar sambil berusaha mengongkosi diri tidak menjadi halangan. Selain itu, Subuh juga ‘... seorang pemain bola sepak sekolah dan maktab yang cukup dedikasi.’ (ms.141). Mr. Hatta seterusnya menekankan yang ‘kematian Subuh walaupun sudah takdir Allah, akan tetapi berpunca daripada kegigihannya untuk menolong orang yang tidak dikenalinya daripada terkorban dirompak tanpa mempedulikan keselamatan dirinya sendiri. Malangnya, orang yang ditolongnya itu meninggalkan Subuh yang banyak kehilangan darah...’ (ms.142).
2. Sewaktu mengiringi jenazah Subuh ke Pusara Aman, Senja teringat akan Subuh menceritakan kepadanya peristiwa dia ditawarkan wang sebanyak $50.00 setiap bulan sebagai upah bagi melaporkan kepada seorang pegawai pemerintah tentang hal-ehwal pelajar-pelajar dan guru-guru maktab. Walaupun Subuh memerlukan wang, dia telah menolak tawaran tersebut dengan alasan ‘... aku ada banyak kerja maktab dan tak ada masa untuk memerhatikan aktiviti pelajar dan guru...’ (ms.144). Senja kagum dengan pendirian Subuh dan menyifatkan sahabatnya itu sebagai ‘... cekal hati, walaupun terdesak tapi kau tidak mudah dibeli oleh sesiapa.’ (ms.144).
3. Salih pula memetakan wajah Subuh di dalam benaknya. Dia menganggap Subuh sebagai sahabatnya sampai mati. Dia kesal akan ibu bapanya sering tersalah tanggap watak Subuh dan sering melarangnya berkawan dengan Subuh. Namun bagi Salih ‘... kau sahabatku yang jujur.’ (ms.145).
4. Bagi Bujang pula, Subuh ‘... seorang manusia yang tidak pernah menceritakan keburukan orang lain... ketika mendengar orang bercerita tentang keburukan orang lain, kau diam... kau tidak menambah atau mengurangi. Walaupun orang itu musuh ketat kau seperti Si Gerago keparat tu... kau macam malaikat, kau benar-benar malaikat, Subuh.’ (ms.146).
5. Tan Peng San pula menyuruh Pak Mahmud bersabar mengenangkan nasib malang Subuh. Fikiran Pak Mahmud bergelojak. Dia memohon maaf kepada arwah isterinya Munah, ‘Aku telah mensia-siakan hidup Subuh selama ini. Dia anak yang baik. Kau maafkan aku ya, Munah!’ rintih hati Pak Mahmud.
6. Senja, Bujang dan Salih mengiringi jenazah Subuh hingga ke liang lahad hingga jenazahnya selamat dikebumikan. Di atas kubur Subuh, Senja berjanji dia akan meneruskan cita-cita Subuh untuk menjelajah dunia dan mencari ilmu pengetahuan. Dia juga ingin meneruskan cita-cita untuk ‘... membela bangsa Melayu yang miskin supaya dapat dipandang sebagai satu bangsa yang boleh berdiri sendiri. Sebagai satu bangsa yang berani...’ (ms.150).
7. Salih berjanji untuk ‘... menolong anak-anak Melayu yang lemah dalam Maths’ (ms.150) sebagaimana yang selalu disarankan oleh Subuh kepadanya. Bujang pula berjanji akan meneruskan cita-cita Subuh yang ‘... kuat untuk membantu orang susah, walaupun hidupku juga susah... aku akan melihat-lihat bapa kau dan adik-adik kau Subuh... Insya-Allah.’ (ms.151).
BAB 15
1. Selepas sembahyang Zuhur di Masjid Darussalam, Senja duduk termenung. Tiba-tiba, dia terdengar suara Subuh yang mengatakan, ‘Aku gembira kau telah sembahyang... aku tahu akhirnya kau akan menyembah Tuhan yang aku sembah Senja... kau telah menjadi sahabat akrabku dunia akhirat, Senja!’ (ms.152). Bulu roma Senja meremang mendengar suara Subuh tetapi Subuh meyakinkannya yang ‘... kau tidak melihat diriku, tetapi aku sentiasa di sisimu!’ (ms.153).
2. Seterusnya, suara Subuh meyakinkan Senja bahawa pemergiannya sudah takdir Tuhan dan Senja diingatkan supaya jangan malu-malu untuk bertanya Ustaz Usman atau kepada Cikgu Saerah. Yang penting, menurut Subuh, ‘... kita mesti selalu berdekatan dengan Tuhan.’ (ms.154). Mendengar suara Subuh, Senja berdoa kepada Allah SWT , ‘Ampunilah dosa temanku Subuh. Jauhkanlah dia daripada seksa kubur, seksa Munkar- Nakir. Terimalah amalan jariah Subuh dan masukkanlah dia di kalangan orang-orang salih dan ahli syurga waljannah! Amin!’ (ms.155).
3. Senja bertemu dengan Bujang dan Salih. Mereka meyakinkan satu sama lain supaya menerima pemergian Subuh sebagai takdir. Di Science Park itu, tempat bersejarah bagi mereka berempat, mereka bertiga berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh ‘... untuk menunaikan permintaan Allahyarham Subuh, supaya kita meneruskan cita-citanya... cita-cita Subuh... kita mesti belajar bersungguh-sungguh, kita mesti bantu-membantu... kita mesti menjadi sahabat sampai mati...’ (ms.161). Senja mendengar suara Subuh yang berasa bangga mendengar janji-janji rakan-rakannya itu.
BAB 16
1. Mr. Hatta dan Cikgu Saerah ingin ke rumah Subuh untuk menyampaikan derma daripada para guru dan rakan-rakan semaktabnya. Cikgu Saerah memberitahu yang mereka telah berjaya mengumpulkan sejumlah $1,350.00 untuk diserahkan kepada Pak Mahmud. Pengetua maktab yang membuat pengumuman agar para pelajar maktab yang berhajat untuk menderma boleh menghulurkan derma mereka kepada Cikgu Saerah. Mereka juga musykil dengan sikap Mr. Rodrigues yang tidak membantah pungutan derma itu. Mr. Hatta beranggapan bahawa reaksi Mr. Rodrigues itu seolah-olah menunjukkan yang bersalah.
2. Mr. Hatta juga memberitahu yang Mr. Rodrigues memuji-muji Subuh di dalam kelasnya. Baginya, ‘... Subuh patut dicontohi pelajar-pelajar kerana Subuh pelajar yang tidak mementingkan diri sendiri. Dengan perbuatannya menolong orang, dirinya sendiri terkorban..,’ (ms.166). Mr. Hatta menyifatkan Mr. Rodrigues sebagai ‘bijak berpolitik’ dan pasti ‘ ada udang di sebalik batu.’ (ms.167).
3Novel ini berakhir dengan perbualan para guru di maktab tersebut. Mr. Hatta memberitahu para guru seperti Cikgu Saerah dan Mr. Balasundram bahawa Mr Rodrigues, naib pengetua telah membuat pengumuman kepada semua pelajar bahawa pihak maktab telah membuat keputusan untuk meletakkan nama Subuh di atas tiga motto maktab tersebut – Kebebasan, Keadilan dan Bermutu.
4. Mr. Hatta beranggapan tindakan Mr. Rodrigues menanggapi Subuh sebagai ‘hero’ maktab mereka merupakan satu muslihat kerana Mr. Hatta yakin perkara yang sebenar masih belum terbongkar kerana baginya ‘... masih ada sesuatu yang mereka sembunyikan.’ (ms.167).
-SELESAI-
Disiapkan
Cikgu Maimoon Kamis
Unit Bahasa Melayu
Jabatan Bahasa Ibunda
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
Disemak semula (pada Jun 2007)
Cikgu Abdul Manaf Bin Mohd Yasir
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Thursday, June 19, 2008

Bahagian B

Aku duduk bersandaran di kerusi pejabatku lalu mataku di pejam erat-erat. Sesungguhnya, aku berasa sungguh letih setelah menjalankan satu pembedahan ke atas seorang pesakit wanita. Aku bersyukur kerana pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan tiada sebarang komplikasi pun yang berlaku.

Perlahan-lahan aku membuka mataku. Aku harus bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Namun, pergerakanku terhenti seketika apabila aku terpandang sijil kelulusan universitiku, yang tersimpan rapi di dalam sebuah bingkai, yang digantung di dinding bilik pejabatku. Aku tersenyum melihat sijil tersebut. Tanpa sijil itu, tentunya aku tidak akan mencapai cita-citaku untuk menjadi seorang doktor. Pada saat itu, kenangan-kenangan masa lalu melayar ke dalam mindaku.

Zaman remajaku penuh dengan dugaan dan masalah. Apabila aku di menengah dua, ayahku meninggal dunia akibat penyakit barah. Peristiwa itu telah meninggalkan kesan yang amat mendalam ke atas diriku. Daripada murid yang rajin dan sering mendapat keputusan yang bagus, aku berubah menjadi seseorang yang hilang minat belajar. Oleh sebab itulah, keputusan peperiksaanku semakin lama semakin merosot. Pada masa itu, aku hanya ingin berhenti sekolah untuk membantu ibuku yang bekerja seorang setelah ayahku meninggal dunia. Aku rela memberikan peluang untuk belajar kepada adik-adikku. Walau bagaimanapun, cadanganku untuk berhenti sekolah dan bekerja di tolak habis-habisan oleh ibuku.

Sejak peristiwa itu, aku melalui hari-hari persekolahanku seperti ia tidak bermakna langsung di dalam hidupku. Bukan sahaja rakan-rakanku, malah guru-guruku juga dapat melihat perubahan yang berlaku ke atas diriku. Hari semakin hari, kelakuan dan keputusanku semakin teruk. Sehingga pada suatu ketika itu, ibuku telah dipanggil oleh guru untuk berbincang tentang keadaanku. Saat air mata ibuku mula mengalir apabila berbincang dengan guruku, saat itulah aku menyedari bahawa aku telah menyusahkan dan mengecewakan ibuku, yang satu-satunya tempat aku bergantung. Aku mula sedar akan kepentingan pelajaran. Peristiwa itulah yang telah mengubah sikapku secara keseluruhannya. Aku mula belajar dengan bersungguh-sungguh. Dengan bantuan guru-guru dan rakan-rakanku aku mengulangkaji pelajaran yang telah aku abaikan sebelum itu. Pada masa cuti sekolah, aku bekerja sambilan dan sebahagian daripada wang gajiku telah aku gunakan untuk membeli buku-buku latihan.

Berkat kegigihan dan doa, akhirnya aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaanku. Kecemerlanganku tidak berhenti di situ sahaja. Aku juga dapat ke universiti yang bertaraf tinggi dan akhirnya aku mencapai cita-citaku untuk menjadi seorang doktor.

Lamunanku kemudian tersentak. Tanpa aku sedari, air mataku telah mengalir. Sekarang aku sedar bahawa kenyataan "kecemerlangan dalam pelajaran dapat menjamin kehidupan dan masa depan yang lebih sempurna" adalah benar. Jikalau aku tidak sedar sejak dahulu lagi, tentunya aku tidak dapat merasakn kejayaan yang telah aku berolehi dan hidup dalam keadaan yang senang bersama ibu dan keluarga tercinta.

Bahagian A

Syahrizan binti Ahmad
Blk 10 Teck Whye Avenue
#21-50
Singapura 689010

28 April 2008

Pengetua
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
7 Choa Chu Kang Avenue 4
Singapura 689809

Tuan

Keprihatinan Terhadap Masalah Disiplin Di Sekolah

Berhubung dengan perkara di atas, saya selaku murid di sekolah ini ingin menyatakan keprihatinan saya terhadap masalah disiplin di sekolah ini. Sejak kebelakangan ini, saya dapati ada masalah disiplin yang berlaku di sekolah ini. Oleh itu, selain memberikan contoh-contoh masalah disiplin yang berlaku, saya juga akan memberikan saranan-saranan yang boleh diambil bagi menangani masalah tersebut.

2 Ada beberapa contoh-contoh masalah disiplin yang telah saya dapati. Murid-murid yang tidak menunjukkan rasa dan tanda hormat kepada guru-guru sekolah ini. Ada segelintir pelajar yang berkelakuan agak biadab kepada guru-guru. Contohnya, mereka akan meninggikan suara apabila berbual dengan guru-guru. Ada juga yang menggunakan bahasa kesat apabila berbual dengan guru-guru.

3 Kedua, ada sebilangan murid-murid yang berbuat bising apabila bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya, mereka akan berbuat bising ketika berjalan di koridor. Ada juga yang akan berbuat bising apabila tiada guru di kelas. Sepatutnya, mereka haruslah membuat kerja masing-masing ataupun mengulangkaji pelajaran. Walaupun telah diberi amaran, murid-murid tersebut tetap akan berbuat bising. Kelakuan mereka itu akan mengganggu ketenteraman murid-murid lain yang ingin belajar.

4 Satu lagi contoh yang boleh didapati ialah kebiasaan sebilangan murid-murid yang datang lewat ke sekolah. Murid-murid tersebut akan berlengah-lengah ke sekolah walaupun mereka tahu mereka sudah terlambat. Ada juga murid-murid yang tidak menyelesaikan kerja-kerja sekolah mereka. Mereka menganggap kerja sekolah itu tidak penting. Di sekolah, mereka akan meniru sahaja jawapan-jawapan daripada rakan-rakan yang lain.

5 Contoh terakhir ialah ada segelintir murid-murid yang berkelakuan kasar dan bergaduh
antara satu sama lain. Kadangkala mereka akan bertengkar atas sebab yang amat kecil ataupun yang amat remeh. Ini tidak seharusnya berlaku kerana ia akan menjejas nama baik sekolah ini.

6 Pelbagai langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah disiplin di sekolah. Pertama, tahap disiplin di sekolah ini haruslah diperketatkan lagi. Jika tahap disiplin diperketat, saya percaya murid-murid tersebut tidak akan memberikan sebarang masalah-masalah disiplin. pihak sekolah juga boleh mengenakan denda yang sewajarnya kepada murid-murid yang melakukan kesalahan walaupun telah diberi amaran berkali-kali. Murid-murid yang mempunyai masalah disiplin itu juga boleh dihantar untuk mengahadiri sesi kaunseling.

7 Demikianlah saranan-saranan yang dapat saya berikan. Saya berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap murid-murid tersebut. Saya juga berharap pihak pengetua akan menitikberatkan saranan-saranan tersebut. Terima kasih.

Yang benar
Syahrizan binti Ahmad

Wednesday, May 21, 2008

SASTERA (15/05/08)

PAK BELALANG (Dipetik daripada teks Anak Bumi Tercinta)

Watak-watak
  1. Pak Belalang
  2. Mak Belalang
  3. Raja Indera Maya
  4. Perdana Menteri
  5. Juragan
  6. Biduanda
  7. Isteri juragan

WATAK

  • manusia atau pelakon
  • diberikan sifat-sifat termasuk perangai dan pemikiran
  • dialog
  • pemerian tindakan(aksi)
  • nilai - lahir melalui dialog atau aksi
  • ada motivasi /penggerak
  • watak bundar (boleh berubah)
  • watak pipih (tidak berubah)
  • fizik/emosi

Latar

1) Bila--Raja Melayu

----------Zaman dahulu kala

2) Tempat -- Istana

-----Rumah Pak Belalang

-----Kapal

3) Masa---Zaman silam

4) Masyarakat---Raja

#Bangsawan#Nelayan#Kelas kapal/juragan#Hulubalang#Sida-sida#Biduanda

Tuesday, May 20, 2008

Kata Sendi

Latihan daripada lelaman= http://c.1asphost.com/kelas/latih/ksendi.htm


Kata Sendi
Mengisi Tempat Kosong
A. Isi tempat kosong dengan kata sendi yang sesuai.
terhadap untuk di tentang sejak daripada seperti pada dari ke

1 .Kapal terbang dari Tokyo itu sedang mendarat.
2 .Saya hendak ke rumah nenek.
3. Ibu bapa harus mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak.
4. "Jangan bermain di tepi parit," pesan ayah. disiplin di kalangan murid.
5 .Guru Besar bercakap tentang displin di kalangan murid.
6. Tas tangan itu dibuat daripada kulit haiwan.
7 .Wajah lelaki itu pucat seperti ayam berak kapur kerana demam.
8 .Mainan ini adalah untuk adik bongsu saya.
9.Dia membubuh ubat pada lukanya.
10 .Siong Fat kehilangan ayahnya sejak kecil.

Satu lagi lelaman yang boleh dikunjungi= http://www.geocities.com/yus7441/ksendi.htm

Wednesday, April 2, 2008

Sastera--Apa itu Sajak?

Sajak:-
  • Sajak mengungkapkan perasaan & pemikiran penyair secara imaginative dan disusun dengan menumpukan semua kekuatan bahasa, serta bentuk luaran dan bentuk dalaman.
  • Sajak adalah puisi baru yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukan rangkap, baris, kata-kata dan rima.
  • Sajak bersifat demikian untuk dapat mengucapkan fikiran penyair dalam cara yang lebih indah, segar dan bebas.
SIFAT-SIFAT SAJAK

  • Tidak mempunyai imbangan bunyi yang tetap
  • Sajak tidak semestinya mengemukakan pertentangan bunyi atau rima akhir di hujung tiap-tiap baris ayat atau dimana-mana juga.
  • Mempunyai rangkap, tetapi bilangan baris ayat pada serangkap tidaklah tetap.
  • Mempunyai baris-baris ayat yang membangunkan rangkap.
  • Mempunyai keharmonian atau penyesuaian yang baik antara isi dengan bahasa.
BENTUK-BENTUK SAJAK

  • Disitkhon
Sajak yang ditulis dalam bentuk dua baris bagi tiap-tiap serangkap.
  • Terzina

Sajak yang serangkapnya terdiri daripada tiga baris
  • Quantrain
Sajak yang rangkap-rangkapnya terbangun atas empat baris. Bentuknya lebih menyerupai pantun dan syair.
  • Quintain
Sajak yang rangkapnya dibentuk oleh lima baris atau kalimat
  • Sextet
Sajak yang digubah dengan pemaikaian rangkap yang terdiri daripada enam baris.
  • Oktaf (stanza)
Sajak yang rangkapnya terdiri oleh lapan baris atau kalima

ISI DALAM SESEBUAH SAJAK
  • Unsur pujaan
  • Unsur keagamaan
  • Unsur kesedihan
  • Unsur pengajaran
  • Unsur sindiran
  • Unsur percintaan
  • Unsur pengisahan
Tema sajak:-
  • Tema ialah persoalan pokok yang hendak disampaikan oleh penyair.
  • Tema diri: berdasarkan pengalaman diri.
  • Tema cinta: cinta akan kekasih, ibu bapa, tanah air, bangsa dan negara.
  • Tema masyarakat: memaparkan simpati dan nasib masyarakatnya di samping saranan penyajak tentang langkah-langkah mengatasinya.
  • Tema alam: gambaran alam seperti keindahan dan pencemaran alam.
  • Tema semangat perjuangan / nasionalisme: semnagat pahlawan negara
  • Tema ketuhanan & keagamaan: soal kesedihan, kematian, kesedaran dan sebagainya.
Maklumat adalah petikan dan rujukan daripada lelaman: http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/sajak.htm
http://members.tripod.com/Bobezani/sastera.htm

Sastera

Sudah lama rasanya saya tidak mengemas kini blog saya. Namun, walaupun sibuk, saya akan cuba untuk membahagikan masa untuk blog ini. Pada 17 Mac 2008, kami telah mempelajari tentang tema, semasa kelas Sastera.
Tema:-perkara yang dibincangkan.
  • Makna yang terdapat daripada Kamus Dewan:- Subjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya, tajuk, pokok.
Daripada Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP;1988):-
  1. Idea atau persoalan pokok atau idea yang mengawal sesebuah karaya sastera.
  2. Dalam karya prosa yang bukan cereka(non-fiction), tema mungkin dianggap sebagai persoalan umum dalam perbincangan, bahan karangan ataupun yang disebut sebagai tesis.
  3. Dalam cereka (cerita rekaan), tema itu menjadi bantuan bagi pengarang memilih bahan-bahan dalam ceritanya itu dan untuk disusunnya.
  4. Tema dalam sesebuah cerita tidak dapat dilihat sepenuhnya sehingga cerita itu selesai dibaca.
  5. Dalam puisi dan drama, tema adalah konsep yang abstrak yang menjadi konkrit melalui karya, iaitu melalui cara-cara watak-watak bertindak, berfikir dan bergeak atau cara-cara watak-watak itu berkonflik antara satu sama lain, cara cerita itu diselesaikan, semuanya menentukan rupa tema yang dikemukakan oleh pengarang. Jadi pengertian yang terkandung di sebalik karya itulah yang dikatakan pokok persoalan atau tema.
Pada 20 mac 2008 pula, kami mempelajari tentang perutusan...
PERUTUSAN:-
  • Mesej atau amanat seorang penulis hendak sampaikan melalui tema sesebuah karyanya.
  • Disampaikan melalui pelbagai cara.
  • Menyokong keunggulan plot dan tema.
  • Boleh berbentuk eksplisit atau implisit.
*Peristiwa dan sikap watak serta pengalaman dalam teks itu boleh dianalasis untuk mendapatkan perutusan.

Pada 24 mac 2008, kami mempelajari tentang persoalan, pengajaran dan plot.
PERSOALAN:-
  • Isu(apa yang hendak diutarakan)
  • Persoalan adalah isu atau hal yang penulis kemukakan dalam karyanya.
  • Persoalan-persoalan ini termasuklah sebarang hal yang bersangkutan dengan kehidupan, masyarakat dan sekitaran.
PENGAJARAN:-
  • boleh bermula dengan "Kita mestilah...", "Kita haruslah..." dan sebagainya.
  • Nasihat atau nilai-nilai yang diutarakan oleh penulis melalui karyanya.
Pengajaran--------Persoalan (isu)
---------Perutusan (mesej)

PLOT:-
  • jalan cerita
  • Rentetan peristiwa (sequnce of events) dari awal ke akhir.
  • Pengenalan-> Konflik-> Klimaks -> Pengakhiran.
  • Plot----a) berkronologi b) tidak berkronologi
Oleh kerana kesuntukan masa masa, pelajaran tentang plot telah dilanjutkan pada 26 Mac 2008...
  • Plot adalah sesuatu yang menghubungkan setiap peristiwa signifikan dalam sesebuah cerita. Setiap peristiwa itu rapat hubungannya dengan gerak laku secara fizikal dan secara emosional watak-wataknya.
  • Sebab----> akibat
  • Hal-hal yang penting dikedepankan, yang tidak peting tidak perlu...
  • a) Plot berkronologi-disusun menurut urutan peristiwa dari mula hingga akhir cerita.
  • b) Plot tidak berkronologi- Plot yang disusun tidak menurut urutan peristiwa. Cerita boleh bermula dari bahagian pertengahan, diimbas peristiwa-peristiwa sebelumnya lalu menuju ke arah pengakhiran cerita.

Monday, March 31, 2008

Sastera----Plot

Plot
1. Plot ialah sesuatu yang menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap penstiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.
2. Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.
3. Susunan cerita bergantung pada fantasi dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi. Plot ialah penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
4. Teknik penyusunan plot yang menarik ialah penyusunan peristiwa secara tidak kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.
5. Permulaan plot ialah peringkat permulaan (eksposisi), iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana.
6. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
7. Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).
8. Perumitan menuju kepada puncak (klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.
9. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang puncak dijadikan pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.

Teknik Plot
Teknik plot ialah cara pengarang mengembangkan plot ceritanya supaya menarik.
Antara teknik plot termasuklah seperti yang berikut:
(a) Imbas kembali
Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.
Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman
(b) Imbas muka
Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.
Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.
(c) Saspens
Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.
(d) Konflik
Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot.
Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam diri watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar.
Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran?
(e) Kejutan
Kejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.
(f) Dialog
Dialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak.
Melalui dialog antara watak-watak inilah biasanya tergambar pendapat atau fikiran yang berkaitan dengan tema.
Petikan daripada lelaman: http://www.bmspm.net/aspeksastera.htm#Plot

Plot ialah urutan peristiwa dari awal hingga akhir dalam sesebuah cerita yang berkaitan dengan perilaku watak-wataknya.
  • Merupakan rentetan peristiwa yang bersebab, dijalin dengan melibatkan konflik atau pertikaian yang akhirnya terdapat peleraian.
  • Plot mengemukakan peristiwa yang terjadi, dan mengapa hal itu terjadi.
  • Penyusunan Plot timbul setelah faktor-faktor yang membina cerita terkumpul.
  • Plot ialah penyusunan kronologi yang telah diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
  • Susunan cerita bergantung pada kreativiti pengarang itu sendiri Plot dirangka dengan teliti oleh pengarang dan tidak semestinya berurutan secara kronologi.
  • Pengarang mungkin memulakan cerita dari bahagian pertengahan cereka atau bahagian pengakhiran cerita dengan menggunakan teknik imbas kembali (flash back).
  • Peringkat Permulaan (eksposisi) Ialah permulaan plot iaitu bahagian untuk memperkenalkan watak-watak dan latar.
  • Akibat perhubungan antara watak-watak pada bahagian pertengahan atau perkembangan plot itu, terjadilah peristiwa yang menyebabkan timbulnya konflik (pertikaian).
  • Perumitan (komplikasi) Berlaku di peringkat pertengahan cerita apabila konflik menjadi semakin rumit dan perlu dileraikan oleh watak-watak dalam cerita tersebut.
  • Konflik dalam cerita mungkin merupakan pertentangan fizikal, moral, fikiran, emosi dan nasib sama ada sesame manusia, haiwan, mahupun diri sendiri. Lazimnya konflik digambarkan sebagai pertentangan antara watak protagonist dengan watak Antagonis.
  • Puncak ialah apabila pertentangan dan perumitan itu menuju sampai ke tahap konsentrasi yang maksimum.
  • Peleraian merupakan bahagian akhir urutan peristiwa, walaupun kadang-kadang puncak merupakan pengakhiran cerita.
  • Klimaks ialah sinonim dengan krisis atau puncak cerita yang merupakan saat yang paling tegang kepada sesuatu peristiwa atau detik ketegangan terakhir pada pertikaian yang timbul sebelumnya. Dalam novel, cerpen atau drama, Klimaks merupakan bahagian atau saat yang paling menarik minat pembaca. Ini kerana ia menyentuh atau mencecah ke satu tanda yang paling tinggi atau pun berada dalam keadaan yang genting, mendebarkan, mencemaskan atau mengerikan. Hasil daripada ketegangan atau konflik itulah yang merupakan puncak dalam cerita.
  • Teknik digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan ceritanya.
  • Contohnya: Imbasan kembali, Imbasan Muka, konflik, Klimaks, Saspens dan kejutan.
  • Imbasan Kembali merupakan satu teknik atau cara seseorang pengarang itu mengungkap dan menggambarkan semula kisah, kejadian, peristiwa, suasana atau masalah yang telah berlaku atau telah dialami oleh watak-wataknya sebelum kisah kini dan seterusnya.
  • Imbas kembali boleh dikemukakan melalui dialog, monolog, monolog dalaman, narrator, dalam bentuk ingatan watak, dalam renungan watak ataupun dalam bentuk mimpi. Penyusunan peristiwa yang demikian mengheret watak mengimbau masa lalu dan memberi perspekif yang luas, di samping memantapkan keyakinan pembaca.
  • Teknik Imbasan Muka ini ialah gambaran tentang sesuatu yang akan berlaku. Imbasan Muka ini juga bertujuan untuk menyediakan pengetahuan awal kepada pembaca tentang perkara yang akan berlakuseterusnya.
  • Monolog ialah tutur kata atau pengucapan oleh sesuatu watak secara bersendirian. Monolog berbeza dengan dialog, terutama dari segi penyampaiannya dan monolog lebih merupakan usaha untuk menyatakan perasaan dan fikiran daripada berbual-bual.
  • Dialog pula merupakan perbualan atau percakapan antara watak-watak dalam karya cereka tersebut.
  • Monolog Dalaman pula merupakan kata hati atau pengucapan batin sesuatu watak. Bagi pengarang monolog dalaman menjadi alat untuk merangkamkan isi hati, pergolakkan batin dan fikiran watak yang tidak dlahirkan dalam bentuk dialog atau monolog. Monolog Dalaman hanya terdapat dalam novel dan cerpen dan tidak mungkin wujud dalam drama. Penyataan perasaan dan fikiran itu mungkin berupa doa, ratapan, keluh kesah atau mungkin rayuan cinta yang ditujukan kepada seseorang.
  • Saspens atau Ketegangan merupakan kemuncak naluri ingin tahu pembaca terhadap sesuatu peristiwa yang akan berlaku berikutnya. Ketegangan merupakan unsure-unsur utama untuk menarik dan mengekalkan minat pembaca dalam semua bentuk cereka.
  • Kejutan pula membawa maksud sesuatu kejadian keadaan, ataupun perubahan sikap, perbuatan dan pandangan hidup seseorang yang ditampilkan oleh pengarang pada akhir sesuatu unsure ketegangan atau konflik. Tegasnya, unsure-unsur ini dapat menimbulkan pancingan dan rasa ingin tahu pembaca untuk menyusuri kelanjutan cerita serta perkara yang akan dialami oleh watak-watak pada penyelesaian cerita kelak.

Petikan daripada lelaman:http://forum.ekpkm.com/viewtopic.php?f=42&t=358