Thursday, July 24, 2008

Sastera

Derita Pertama


Makna:


Stanza pertama membawa maksud bahawa Nabi Adam iaitu "bapa kita", telah membuat kesilapan kerana tergoda dengan buah khuldi. Ini dibuktikan pada baris ketiga dan keempat "kerana mencari syurga di celah buah khuldi". Baris ini menyatakan bahawa Adam hendak mencari nikmat yang ada di sebalik buah khuldi yang haram itu. Oleh itu, Adam telah dihantar untuk menetap di tempat yang asing baginya sebagai hukuman, seperti yang dijelaskan pada baris kedua "yang tercampak dari seberang dunia."


Stanza berikut pula menggambarkan suasana di dunia yang baru itu. Adam berada di tempat yang mempunyai persekitaran yang berbeza dengan tempat tinggalnya dahulu. Baris pertama dan kedua " Waktu terlantar di dunia baru, hari tengah malam" menjelaskan suasana yang asing itu. Di dunia yang baru bagi Adam, siang hari yang selalu dilihatnya, telah diambil alih oleh malam. Baris ketiga,"ia tidak mengerti apa yang telah terjadi" membawa maksud bahawa seumur hidupnya di syurga, Adam tidak pernah mengalami malam lalu "tidak mengerti apa yang telah terjadi". Oleh kerana tidak biasa dengan waktu di sana, baris terakhir "mulutnya bisu" menyatakan bahawa Adam tidak sangka hukumannya agak berat sehingga dibuang ke tempat yang tidak pernah diketahuinya.


Ketakutan Adam di dunia baru itu diperlihatkan di stanza yang seterusnya. Baris kedua menguatkan lagi kenyataan ini kerana Adam "mulai merasa cemas akan kegelapan", menunjukkan bahawa Adam gementar dengan malam hari, sesuatu yang tidak pernah dialaminya. "Segumpal awan hinggap ke kening" pada baris ketiga bermaksud bahawa pemikiran Adam tertutup dan kabur kerana " ia tidak tahu apakah itu" di mana perkataan "itu" merujuk kepada kegelapan malam hari.


"Sepanjang malam ia tercengang" pada stanza keempat baris pertama menekankan lagi bahawa Adam tidak tahu apa yang dibuat kemudian untuk meneruskan kehidupannya di dalam keadaan yang tidak lazim dialaminya. Baris kedua "dari hatinya mengalir sungai duka" membuktikan bahawa Adam turut berasa sedih dan kesal akan perbuatannya kerana kesilapannya itu yang menyebabkan dia berada di dalam kesusahan dan kesepian. "Rimba kegelapan tubuh seorang" pada baris ketiga dan keempat menunjukkan kesesalan Adam apabila dia memikir tentang menempuhi hidupnya sebagai seorang yang tidak lagi mempunyai masa hadapan yang cerah.

Stanza yang terakhir membesar-besarkan dan menekankan lagi kesedihan yang dirasanya pada malam itu. "Air matanya membelah muka bulan" membuktikan bahawa Adam menangis dalam kedukaan "sepanjang malam".

Gaya Bahasa:

Rangkap pertama quatrain baris pertama "Adam ialah bapa kita" merupakan asonansi yang mempunyai vokal "a" pada suku kata dalam frasa itu. Bunyi vokal "a" yang sama memberi frasa itu sebuah ritma yang sedap didengar apabila dibaca kuat. Pada rangkap kedua quatrain baris pertama, frasa "di dunia" mempunyai unsur aliterasi "d", di mana kedua-dua perkataan itu bermula dengan huruf konsonan "d". Bahasa asing terdapat dalam rangkap pertama baris keempat iaitu "khuldi" yang berasal dari bahasa Arab. "Hari tengah malam" pada rangkap kedua baris kedua adalah paradoks kerana di frasa itu, makna perkataan "malam" bertentangan dengan perkataan "hari". Baris terakhir pada rangkap yang sama "mulutnya bisu" adalah frasa yang klise kerana selalu digunakan dalam bahasa. Unsur simbol terdapat pada rangkap ketiga baris ketiga "segumpal awan". Ia melambangkan kekaburan yang menutup fikiran Adam semasa terlantar di dunia baru itu. "Hatinya mengalir sungai duka" juga merupakan simbol untuk melambangkan kesedihan yang dirasai Adam. Sinkof "ku" terdapat di perkataan "kutempuh" yang ada pada rangkap keempat baris ketiga. Rangkap keempat baris keempat dan kelima, "rimba kegelapan tubuh seorang" adalah ambiguiti kerana maknanya agak kabur dan tidak dijelaskan lagi dalam sajak itu. Ia boleh membawa makna bagaimana cara untuk Adam menempuhi kegelapan malam hari atau kegelapan tubuh seseorang, iaitu masa hadapan seseorang yang gelap. Stanza terakhir "air matanya membelah muka bulan" merupakan hiperbola untuk membesar-besarkan lagi betapa gundah-gelananya Adam itu.

Tema dan Persoalan:

Sajak ini bertemakan penderitaan, ia mengisahkan bagaimana Adam terseksa dalam penderitaan. Dari stanza pertama, kita dapat pelajari bahawa manusia tidak terhindar dari membuat kesilapan termasuk nabi yang akhlaknya dipersamakan dengan malaikat, seperti Nabi Adam. Stanza kedua pula menunjukkan bahawa sekiranya seseorang membuat suatu kesilapan, dia akan dihukum juga akhirnya. Hukuman yang dihadapinya itu agak berat, sebagai balasan kepada kesilapannya itu. Di dalam sajak, Adam telah menerima hukuman yang sangat berat baginya; dipulaukan di tempat asing keseorangan sahaja. Namun, kesilapan yang kerap dilakukan oleh manusia ada juga kebaikannya, iaitu ia menyedarkan seseorang akan kesilapannya itu dan mengajarnya untuk mengelak dari membuat kesilapan yang sama pada kali yang lain. Stanza keempat membuktikannya, apabila Adam telah berasa sedih dan juga kesal akan perbuatannya itu kerana ia adalah sebab dia menerima hukuman yang berat.

No comments: